ENGGAN sejarah pisang berbuah dua kali, B. Sathianathan tidak mahu mengeluarkan langsung sebarang kenyataan kontroversi menyentuh mutu pengadilan semasa perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Kuching.

Sebaliknya, pengendali berusia 63 tahun itu menilai pengadil bertugas telah memberikan persembahan sewajarnya sepanjang 90 minit perlawanan dan menyifatkannya sebagai ‘terbaik’.

Dalam pertembungan itu, Sarawak United FC kalah tipis 1-0 kepada Sabah FC dalam aksi Borneo Derby yang penuh rancak dan bertenaga.

“Bukan mudah pemain datang dari Liga Perdana bermain dalam level Liga Super yang tidak ada apa-apa pengalaman. Budak (pemain) dah bagi yang sebaiknya. Saya bangga semangat ditunjukkan pada separuh masa dan banyak kami cipta peluang.

 

“Cuma, bab pengadil saya tak boleh la komen. Pengadil ini saya nampak terbaik sekali dalam karier saya dan harap dia akan datang lagi mengadili perlawanan akan datang.

“Saya tak pernah tengok pengadil macam ini. Memang bagus.. ,” kata Sathianathan kepada pemberita dalam sidang media.

Kelabnya itu kini terdampar di kelompok dasar liga apabila hanya mampu meraih satu mata ketika seri menentang Penang FC pada 5 April lepas.