PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa dia akan menjadi individu paling gembira sekiranya skuad B-23 tahun kebangsaan dapat layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hamidin yang juga Chef De Mission Kontinjen Malaysia Sukan Olimpik ke-33 bagaimanapun masih bersikap realistik dan tidak mahu memberikan tekanan tidak sepatutnya kepada skuad kendalian Juan Torres Garrido itu.

“Biar saya katakan secara realistik, sebagai Presiden FAM kalau kita dapat layak ke Olimpik ini ianya adalah satu kejayaan kerana Sukan Olimpik boleh dianggap sebagai Piala Dunia Skuad B-23.

Skuad B-23 Tahun Kebangsaan

“Tetapi kita mesti sedar berdasarkan perkiraan saya sendiri, tiga pasukan ‐ Jepun, Republik Korea dan Arab Saudi mempunyai tujuh hingga 10 pemain yang bermain di Piala Dunia dan Piala Asia jadi sememangnya pusingan kelayakan ini bukanlah tahap mereka.

“Uzbekistan dan Vietnam yang satu kumpulan dengan kita juga mempunyai tujuh dan sembilan pemain yang bermain dalam kesebelasan utama di Piala Asia. Jadi kita tahu tahap mereka dan kita perlu buat yang terbaik untuk layak ke peringkat suku akhir,” katanya ketika ditemui media di Bukit Jalil pada Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Hamidin turut mengesahkan FAM telah mengatur sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan buat skuad B-23 tahun dengan tiga perlawanan dijadualkan di Malaysia dan tiga perlawanan di Qatar.

Pasukan yang mampu membawa nama Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita akan buat pengumuman tentang siri perlawanan persahabatan tetapi kita sudah mendapat pengesahan dari India dan dua lagi negara akan ditentukan yang akan diadakan ketika kalendar Fifa Mac sama ada di Stadium MBPJ atau Stadium Cheras.

“Skuad juga akan berlepas lebih awal ke Qatar untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan zon masa di sana. Kita sudah mendapat pengesahan dari Qatar dan juga sudah mengajak Jepun untuk bermain perlawanan persahabatan di sana,” jelasnya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dalam Kejohanan Piala Asia AFC B-23 yang berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei 2024.