PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memberi jaminan isu kad akreditasi kontinjen negara tidak akan timbul sepanjang Sukan Paralimpik Paris 2024.

Megat berkata kuota kad akreditasi yang diberi melibatkan 30 atlet dan 32 pegawai dan ianya mencukupi untuk temasya sukan paralimpik terbesar dunia itu.

Beliau juga memaklumkan secara peribadi bahawa menerima lima kuota kad akreditasi yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja mengikut budi bicaranya untuk hadir memberikan sokongan di Paris.

“Saya ada lima kuota kad akreditasi diberikan atas kapasiti sebagai Presiden MPM, satu kuota sebagai ahli jawatankuasa Asian Paralympic Committee dan tiga lagi diberikan oleb badan sukan dunia.

“Saya ada kuota untuk bawa sesiapa pun. Jika tetamu saya ahli keluarga saya boleh bawa, jika mereka bukan ahli keluarga juga saya boleh bawa,” katanya ketika majlis pelepasan kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Megat menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu isu yang melanda kontinjen Olimpik negara kembali terjadi apabila pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, dinafikan kehadiran ahli fisioterapi dan pasangan pelatih, manakala jurulatih pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei, Nova Armada tidak dapat bersamanya di Paris.

Pada masa yang sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria pula dapat membawa keluarganya ke temasya sukan itu sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati peminat sukan tanah air.

Seramai 30 atlet dari lapan jenis sukan bakal membawa cabaran negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 9 September.