PENGENDALI baharu skuad futsal lelaki kebangsaan, Rakphol Sainetngam mahu para pemain mengubah mentaliti dengan mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri jika ingin melihat sukan ini menuju ke tahap yang lebih membanggakan.

Rakphol yang mempunyai reputasi hebat sebagai jurulatih di peringkat Asia mahu para pemain sentiasa mempunyai mentaliti laparkan kemenangan dan tidak takut untuk bersaing dengan menjadikan harimau sebagai DNA permainan Malaysia.

“Sangat teruja kerana ini hari pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Saya adalah jurulatih biasa di Asia tetapi mahu menukar ‘attitude’ pemain kepada laparkan kemenangan. Saya sudah memberitahu pemain yang kita bukan pasukan kecil dan perlu berlatih dengan kuat jika mahu mencapai kejayaan.

“Saya akan gunakan corak permainan dan latihan berintensiti tinggi dan pemain juga perlu berikan 1000 peratus dalam latihan dan saya akan lakukan yang terbaik buat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan pusat kebangsaan.

Tugasan pertama Rakphol adalah membawa Malaysia di Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan di mana Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama-sama tuan rumah Uzbekistan, Iraq dan Kemboja pada Oktober dan dia telah memilih Thailand sebagai destinasi untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Kami akan ke Thailand untuk perlawanan persahabatan menentang Afghanistan, Taiwan dan Thailand dan apa yang saya mahukan bukanlah keputusan tetapi apa yang saya mahu lihat adalah pemain bermain sebagai satu pasukan dan memperbaiki corak bertahan dan serangan serta pemain memahami sistem permainan yang mahu diterapkan,” jelasnya.

Meskipun para pemain baru sahaja menamatkan musim mereka bersama kelab, Rakphol gembira kerana majoriti pemain berada dalam keadaan yang cergas kecuali dua tiga pemain yang memerlukan tempoh pemulihan yang lebih panjang namun tidak membimbangkan.

“Tidak ada pemain yang cedera teruk cuma ada beberapa yang mengalami kecederaan ringan yang boleh pulih dalam dua tiga hari dan jika mereka tidak cergas saya akan memanggil mereka dari senarai simpanan,” tambahnya.

Pelatih berusia 44 tahun itu juga tidak gentar dengan saingan Malaysia di peringkat kelayakan meskipun sedar kekuatan lawan sebaliknya dia menganggap ianya sebagai ujian yang bagus buat para pemain untuk menilai tahap persediaan pasukan.

“Iraq dan Uzbekistan adalah pasukan yang kuat tetapi ini adalah peluang buat kami untuk menguji tahap kami dan saya mahu menukar mentaliti para pemain. jika ini dapat diubah segalanya mampu dilakukan.”