KARIER pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia terus bergolak dengan kekalahan pusingan pertama pada Terbuka Indonesia Terbuka 2023 sekaligus dia memberi bayangan akan ‘berehat’ seketika.
Wajah pemain No.11 dunia itu kelihatan sugul setelah tersungkur dengan lawannya dari India, Lakshya Sen 21-17, 21-13 dalam masa 33 minit permainan.
Zii Jia menjelaskan pada saat ini dia hanya mahu mendapatkan rehat yang secukupnya buat sementara waktu sehingga menemui kembali rentak permainannya.
“Lakshya bermain dengan sangat baik hari ini. Saya rasa buat masa ini saya mungkin akan berhenti seketika dari badminton.
“Saya tidak tahu berapa lama saya akan mengambil masa, tetapi saya akan berhenti dari badminton untuk sementara waktu sehingga saya kembali mendapat motivasi lagi,” katanya kepada BWF.
Dalam masa yang sama, Zii Jia juga masih belum memutuskan samada akan menyertai kelayakan untuk Paris 2024 atau tidak berikutan dirinya tidak yakin mampu memberikan sepenuh tumpuan pada perlawanan.
“Mungkin saya akan berhenti bermain kejohanan. Saya tidak tahu berapa lama. Sudah lama saya mempertimbangkan perkara ini. Terlalu rumit bagi saya di gelanggang dan saya tidak dapat menumpukan perhatian 100 peratus.
“Adalah lebih baik bagi saya untuk berehat sebentar. Keutamaan bagi saya adalah untuk mencari semangat di gelanggang. Saya berjaya di Piala Sudirman tetapi tidak melakukan banyak perbezaan selepas itu,” tambah Zii Jia lagi.