TONGGAK skuad Harimau Malaya, Dion Cools bertekad memberikan segala-galanya pada aksi pembukaan Kumpulan E berdepan Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari ini.
Menurut pemain kelab Buriram United itu, persiapan keseluruhan pasukan adalah sempurna dan rakan sepasukan kini sedia menghadapi apa jua rintangan dalam misi mendapatkan mata pertama.
“Saya akan melakukan apa sahaja untuk memenangi permainan ini. Ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan jika anda boleh layak ke pusingan seterusnya.
“Saya benar-benar percaya bahawa pasukan kami mampu melakukannya. Saya akan berlari, saya akan berjuang, saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kita mampu memenangi permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hotel penginapan pemain di Doha, Qatar pada Jumaat.
Cools yang pertama kali bermain untuk skuad Harimau Malaya pada 3 Jun 2021 ketika dikendali oleh Tan Cheng Hoe sehingga kini mengumpulkan 21 kaps.
Cools ketika diajukan pertanyaan juga enggan mengulas lanjut sama ada dirinya akan dilantik menjadi kapten untuk perlawanan pertama bertemu Jordan di Stadium Al Janoub.
“Saya tak tahu. Ini terpulang kepada jurulatih,” katanya ringkas.
Tambah pemain berketinggian 1.85 meter itu lagi, Malaysia juga memiliki kelebihan dan kualiti fizikal untuk kekal bersaing dengan dua negara Arab (Jordan dan Bahrain) dan pemenang dua kali, Korea Selatan.
“Kita ada kualiti kita, mereka ada kualiti mereka. Jadi saya tidak mengambil berat mengenainya,” ujarnya.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.