PEMENANG tiga pingat perak di tiga temasya Olimpik, Datuk Lee Chong Wei mengakui bimbang dengan situasi dialami Lee Zii Jia, sehingga pemain itu mengumumkan mahu berhenti dari badminton buat seketika.
Justeru, beliau berjanji akan sedaya upaya berusaha membantu memulihkan prestasi bekas juara Asia itu.
Namun, bekas pemain nombor satu dunia itu berharap Zii Jia yang tergelincir ke ranking ke-11 dunia ketika ini, tidak berehat terlalu lama.
“Kalau tengok cara dia bermain, memang nampak dia sudah hilang keyakinan. Jadi, saya harap dia boleh segera dapatkan keyakinannya.
“Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa RTG (Road to Gold) yang menguruskan badminton, saya akan berusaha untuk cuba membantu Zii Jia mendapatkan semula keyakinannya dan cuba meredakan tekanan yang mungkin dialaminya.
“Saya fikir sekarang bukan jawatankuasa RTG saja yang bimbang tetapi seluruh rakyat Malaysia juga bimbang kalau lihat komen-komen di media sosial. Jadi, kita akan lihat bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membantu Zii Jia,” katanya.
Justeru, Chong Wei berharap kehadiran jurualatih baharu Zii Jia, Wong Tat Meng yang akan memulakan tugasnya pada awal Julai ini, turut akan memberikan kesan besar dalam usaha pemain itu kembali bangkit.
“Pada padangan saya, dia tidak akan rehat lama kerana pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik sudah pun berjalan ketika ini. Dia kena kumpul mata kelayakan.
“Mungkin dia tidak menyertai beberapa kejohanan saja. Buat masa sekarang, saya fikir biarlah dia berehat dulu.
“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Zii Jia apabila dia pulang ke Malaysia untuk melihat bagaimana boleh saya membantu dirinya,” kata Chong Wei.
Zii Jia mengumumkan dia mahu berehat seketika dunia badminton selepas tewas di tangan pemain India, Lakshya Sen di pusingan pertama Terbuka Indonesia pada Rabu.
Sebagai rekod, ia adalah kali ketiga berturut-turut pemain itu tewas di pusingan awal selepas Masters Malaysia (pusingan kedua) dan Terbuka Singapura (pusingan pertama).
Pemain itu turut tersingkir empat kali di pusingan kedua, iaitu Terbuka India, Indonesia Masters, Terbuka Jerman, dan Malaysia Masters.
Berdasarkan kalendar kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ada tiga kejohanan bertaraf Super 300 dan 500 pada bulan depan yang mungkin tidak akan disertai Zii Jia iaitu Terbuka Kanada (4 hingga 9 Julai), Terbuka Amerika Syarikat (11 hingga 16) dan Terbuka Korea (18 hingga 23 Julai).
Jika semuanya berjalan lancar dalam tempoh rehat yang ada untuk Zii Jia, dia mungkin kembali ke gelanggang pada Terbuka Jepun yang bertaraf 750 dari 25 hingga 30 Julai.