SUSULAN luahan perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia di ruangan media sosialnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi perhatian dan akan bertemu dengan pemain itu.
Zii Jia,24, memuatnaik status di Instastorynya ‘I’m fucking done’ sebaik sahaja tumpas kepada lawan dari Chinese Taipei, Lee Chia Hao 21-15 20-22 21-23 pada aksi badminton Terbuka Jerman 2023.
Menurut Hannah, dia telah menghubungi Zii Jia dan telah mengesahkan akan berjumpa dengannya sebaik sahaja pemain itu pulang dari Jerman.
“Saya telah menghubungi Lee Zii Jia selepas keputusan perlawanan terakhir. Saya beritahu Zii Jia saya akan berjumpa dengan selepas dia pulang nanti. Lee Zii Jia kata yes dan akan lihat bagaimana kita boleh bantunya untuk tingkatkan prestasi.
“Dalam pertemuan pertama, saya mendengar cabarannya sebagai pemain profesional yang telah bergerak sendiri, hanya untuk mengenali dia pada masa itu. Dia pemain profesional. Dia bukannya budak kecil. Jadi, saya rasa kita beri dia ruang dan tunggu dia pulang,” jelas Hannah ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran AFA Superapp di The Square, Jaya One, Petaling Jaya.
Selain itu, Hannah turut memberi gambaran rakyat perlu memahami bahawa atlet juga adalah manusia biasa dan ada pasang dan surut dalam perasaan masing-masing.
“Saya sering bercakap bahawa atlet adalah sumber inspirasi dan dipandang tinggi masyarakat. Tetapi pada masa yang sama, atlet juga ada masa mereka gembira, ada juga masa mereka sedih,” ulasnya.
Beberapa elemen lain yang turut dititikberatkan Hannah adalah dengan membantu menangani segala perkara kurang enak yang berlaku terhadap mereka di media sosial.
Seterusnya, latihan dari segi kekuatan mental juga harus diperkukuh agar seseorang atlet itu mampu tetap tenang meskipun diasak dengan tekanan mental yang sangat tinggi.
“Salah satu perkara yang kita ingin menambah adalah latihan apabila berhadapan dengan media sosial. Seterusnya, latihan kekuatan mental,” tambahnya.
Jelas Hannah lagi, atlet telah berpisah dengan rakan dan keluarga pada usia yang muda kerana hanya menumpukan sepenuhnya kepada latihan dan perlawanan di peringkat tertinggi.
Tekanan tersebut turut hadir kerana bagi atlet sukan adalah pekerjaan hakiki mereka namun bagi rakyat biasa, sukan merupakan aktiviti rekreasi yang sudah tentu berbeza dari sudut intensiti tekanan.
“Anda harus ingat bahawa mereka telah kehilangan masa bersama kawan dan keluarga pada usia seawal 12 atau 13 tahun. Mereka hanya berlatih, berlatih dan berlatih.
“Untuk kita, sukan adalah rekreasi tetapi bagi atlet ia merupakan pekerjaan bagi mereka. Saya yakin ada banyak ruang untuk Zii Jia menjadi semakin baik. Sebab itu, saya ingin berjumpa dengan dia apabila pulang,” katanya.