KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak tahu apa yang terjadi pada para pemainnya apabila seakan terleka pada 15 minit pertama babak kedua hingga membenarkan Terengganu FC bangkit mengikat kedudukan menjadi 3-3.

Dia yang jelas tidak berpuas hati dengan situasi itu berkata jika dia mengetahui perkara itu akan berlaku dia akan melakukan kesemua lima pertukaran pada rehat separuh masa pertama namun terpaksa akur dengan satu mata.

KL City mendahului 3-1 pada babak pertama menerusi gol Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan Romel Morales pada tetapi skuad Peteh bangkit dalam 15 minit babak kedua untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Nor Hakim Hassan dan Ivan Mamut.

“Itu mungkin 45 minit terbaik dan 15 minit yang terburuk musim ini. Kalau saya tahu perkara ini berlaku, saya akan tukar empat lima orang pemain dengan segera.

“Dalam separuh masa pertama, kita jaringkan tiga gol dan kita tidak dapat jaringkan gol lebih. Saya sudah berpesan dalam bilik persalinan tetapi mereka beraksi sebaliknya dan kita seakan tidak bermaya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali Croatia itu juga menganggap perkara ini berlaku mungkin disebabkan faktor keletihan atau anak-anak buahnya yang terlalu awal mempercayai mereka telah meraih tiga mata.

“Saya tak tahu sama ada keletihan kerana perlawanan terakhir menentang JDT empat hari lepas atau kita sudah mula meraikan tiga mata,” jelasnya.

Hodak mahu KL City FC mengatasi prestasi tidak konsisten ini dalam perlawanan seterusnya apabila menerima kunjungan Negeri Sembilan FC untuk perlawanan Liga Super seterusnya pada 15 Julai.