KELAB Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan Tan Cheng Hoe
sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi memberi ruang
kepada beliau membuat persediaan awal serta merancang untuk musim hadapan.

“Bagi saya, Selangor FC merupakan satu kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.

”Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan.

“Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu saya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tan Cheng Hoe sah milik Selangor FC…

“Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan
serta barisan jurulatih.

“Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan
corak permainan yang akan saya terapkan.

“Di samping itu, saya juga perlu memahami
setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu,” kata Cheng Hoe.

 

Ketua Jurulatih berusia 54 tahun ini pernah mengendali pasukan kebangsaan dari
tahun 2018 sehingga 2021.

Di bawah bimbingannya, pasukan Malaysia telah berjaya menjadi naib juara kejohanan AFF 2018 di samping mempamerkan antara
persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia
2022.

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau seperti ketika bersama pasukan Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, kelab percaya bahawa Tan Cheng
Hoe merupakan calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.