PEMILIK saham terbesar Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Daud Bakar menyatakan semalam (18 April) merupakan hari paling gembira untuknya.

Apa tidaknya, beliau berjaya melunaskan gaji yang tertunggak kepada pemain dan pegawai pasukan KDA FC bagi tahun 2023.

Sang Kenari, antara dua pasukan Liga Super yang sebelum ini mengalami kesukaran untuk membayar gaji yang membelenggu sejak musim lepas.

Pemain-pemain Kedah Darul Aman FC sedang menjalani latihan pra-musim di Terengganu. (Sumber Gambar: FB Kedah D.A)

Saya gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dunia dan agama iaitu gaji kepada mereka yang berhak.

“Sejak lapan bulan yang lalu,  saya rungsing, sedih dan penat minda kerana gagal melaksanakan tanggungjawab. Hari ini (semalam) saya boleh senyum semula.

Saya tahu mereka dan keluarga mereka banyak menghadapi kesukaran disebabkan kelemahan saya. Tapi mereka amat penyabar,” katanya dalam Facebook peribadinya.

Penyokong Sang Kenari turut membantu dalam memulihkan kewangan pasukan. (Sumber Gambar: FB Kedah D.A.)

Beliau turut berasa gembira kerana penyokong Kedah sanggup membantu pasukan dikala kewangan pasukan dalam keadaan kritikal.

Saya juga gembira kerana peminat dan penyokong KDA FC menerima penjelasan dan pengumuman baru yang saya buat secara positif.

Semua nak pakat bantu sekadar kemampuan masing-masing. Inilah titik kegembiraan yang paling tinggi.

“Bila peminat dan penyokong bersama saya, segala kepenatan saya selama lapan bulan hilang begitu sahaja. Semoga saya dapat tidur nyeyak buat pertama kali pada malam ini,” tambahnya lagi.

Kedah Darul Aman FC telah menyelesaikan tunggakan gaji bagi musim 2023 pada 17 April, sekali gus status pasukan itu akan kekal dalam Liga Super musim ini.