PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dia sebenarnya pernah terlintas tidak mahu pingat gangsa ini kerana sasarannya ke Paris hanyalah untuk memenangi emas selepas tewas pada peringkat separuh akhir pada Ahad.

Zii Jia berkata, dia sedar Malaysia terlalu mahukan pingat emas yang sudah lama didambakan dan dia tidak berjaya memberikan kilauan itu selepas terkandas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Namun, perasaan itu segera berubah sejurus dia mendapat mata kemenangan keatas Lakhsya Sen pada perlawanan penentuan pingat gangsa acara badminton di Sukan Olimpik Paris 2024 di La Chapelle Arena, Paris.

Zii Jia kini boleh tidur dengan lebih lena selepas memenangi pingat gangsa

“Sejujurnya selepas tewas semalam, saya terfikir adakah saya mahukan pingat ini kerana sasaran saya ke sini adalah emas sebab Malaysia sangat dahagakan pingat emas tetapi selepas menang, saya rasa saya boleh tidur dengan lena selepas ini.

“Selepas tewas set pertama dan terus ditekan pada set kedua, saya akhirnya berjaya mengawal keadaan dan menang set kedua kerana saya fikirkan apakah strategi dan cara untuk saya kawal perlawanan ini kerana saya tidak mahu tewas,” katanya ketika ditemubual AstroArena selepas perlawanan.

Zii Jia juga mengakui dia sedikit tersentuh dengan pelbagai perkara yang terjadi kepadanya sejak tiga tahun lalu namun gembira kerana berjaya membuktikan kemampuan dirinya yang bergelar pemain profesional.

Sokongan padu penyokong Malaysia di La Chapelle Arena

“Sudah tentu selepas saya menjadi pemain profesional dalam tiga tahun ini, pelbagai perkara berlaku dan ia buatkan saya jadi lebih matang. Saya tidak rasakan mahu meraikan secara berlebihan kerana saya sudah dapat buktikan kemampuan saya dengan pingat gangsa ini,” jelasnya.

Zii Jia bangkit dari ketinggalan pada set pertama untuk menang 13-21, 21-16, 21-11 sekaligus meraih pingat gangsa pertama peribadinya di Olimpik dan pingat kedua skuad badminton dan juga kedua keseluruhan buat kontinjen negara di Temasya Olimpik Paris kali ini.