KETUA Kontinjen Negara Datuk Hamidin Mohd Amin optimis negara mampu meraih pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia itu, beliau berjanji akan bekerja dengan sepenuh jiwa.

“Siapa yang kenal saya tahu… apabila saya diberi jawatan ini, saya bukan jenis orang yang kerja separuh hati, saya adalah orang yang sangat positif.  Saya akan bekerja sehinggalah hari kemuncaknya nanti.

“Saya yakin, kalau kita bekerja keras…insya-Allah rezeki itu Allah akan bagi. Lagipun, kita ada peluang pada 2016 tetapi belum rezeki dan masanya lagi waktu itu. Saya sedar bukan mudah, tetapi kalau kita bekerja keras, tiada apa yang mustahil.

“Saya percaya apa jenis sukan boleh (memenangi emas pertama Malaysia). Namun, saya juga meletakkan sasaran untuk mendapatkan lebih banyak perak dan gangsa,” kata Hamidin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

 

Ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David mengadakan lawatan pertama ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pemain badminton negara gembira menerima lawatan daripada ketua kontinjen dan timbalan, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Datuk Nicol David di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Semua pemain badminton yang berada dalam senarai Road to Gold (RTG) menjalani latihan di akademi terbabit kecuali Lee Zii Jia yang dikatakan menjalani latihan di luar negara.

Turut bersama Hamidin dalam sesi lawatan itu, timbalannya yang juga bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Sejak kali pertama menyertai Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956, Malaysia tidak pernah memenangi emas dengan pencapaian terbaik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Hamidin optimis kerja keras semua pihak akan membuahkan hasil, membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik di Paris 2024.

Badminton menyumbang tiga perak pada waktu itu menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) manakala gandingan Datuk Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong meraih perak bagi sukan terjun dalam acara 10 meter platform seirama.

Jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang pula menyumbang satu gangsa dalam acara keirin.

Dalam pada itu, Hamidin juga berjanji tidak akan bersikap pilih kasih apabila menyatakan komitmen untuk memberi bantuan kepada semua jenis sukan yang berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris.

“Selepas ini saya akan mengadakan lawatan ke sukan lain pula termasuklah terjun, memanah, menembak, pelayaran dan breakdance. Kami akan memantau semua sukan yang sedang mengharungi pusingan kelayakan ke Olimpik dan kita bantu mereka,” katanya.