PENJAGA gol muda Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tidak mahu dibandingkan dengan Syihan Hazmi tetapi mahu menggunakan segala ilmu yang dipelajari dari penjaga gol kebangsaan itu untuk memajukan dirinya sebagai pemain bola sepak.

Dia turut berterima kasih kepada Ketua Jurulatih, K. Devan serta jurulatih penjaga gol, Megat Amir Faisal dan semua pemain NSFC yang banyak memberi dorongan kepadanya dan membantunya dalam menjadi penjaga gol yang baik.

“Posisi penjaga gol di Negeri Sembilan ini sentiasa hangat tetapi saya datang ke sini untuk buktikan saya bukan Syihan tetapi saya ingin mengikut bagaimana caranya membimbing pasukan ini dan akan buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan K. Devan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan terutama jurulatih Megat Amir Faisal dan rakan penjaga gol, Muhaimin Mohamad yang banyak beri dorongan kepada saya untuk beraksi lebih baik.

“Persaingan antara empat penjaga gol di pasukan ini juga bagi saya adalah persaingan yang sihat dan saya tidak boleh bersenang lenang dan mengambil mudah kepercayaan yang telah diberikan ini untuk bantu Negeri Sembilan FC musim ini,” katanya ketika ditemui Flash Sukan selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali NSFC K.Devan gembira dengan aksi yang ditunjukkan penjaga gol muda itu dan berkata dia mempunyai masa depan yang cerah dalam kariernya dan tidak mahu dia dibandingkan dengan Syihan Hazmi.

“Sikh ada bakat yang besar dan dia perlu mendapat pengalaman dengan pasukan senior team dan belajar menerima arahan dari pertahanan yang berpengalaman. Dia ada harapan dan masa depan yang cerah dalam kariernya.

“Buat masa ini sukar hendak bandingkan antara kedua penjaga gol ini kerana Syihan adalah penjaga gol nombor satu Malaysia manakala Sikh di skuad Bawah 23 tahun. Sememangnya ada perbezaan dari segi pengalaman tetapi dia tetap menampilkan aksi yang mantap,” kata Devan.

Sikh melakukan debut yang baik apabila berjaya mengekang asakan Sri Pahang FC yang diketuai Kpah Sherman untuk memberikan satu mata kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Ahad.