FOTO : PERAK FC

KETUA jurulatih sementara Perak FC, Yusri Che Lah berharap para pemain cuba memberikan aksi terbaik menjelang pertembungan Liga Super berdepan Terengganu FC di Ipoh pada Sabtu.

Tatkala harapan menggunung peminat The Bos Gaurus yang terus dahagakan kemenganan, Yusri mengambil pendekatan sederhana dan menghadapi satu persatu setiap perlawanan.

“Apa yang kita lihat saya bukanlah ahli sihir yang boleh menukar pasukan sekali gus. Saya harapkan kehadiran penonton untuk membantu untuk beri sorakan kepada pemain.

“Dalam masa sama pemain perlu lebih berasa yakin ketika beraksi nanti kerana ini peluang mereka untuk cuba mendapatkan mata ketika beraksi di halaman sendiri,” katanya kepada TBG TV.

Tambah Yusri, walaupun dalam keadaan cuaca panas dirinya percaya semua pasukan akan menerima untuk bermain pada sebelah petang.

“Saya berharap pemain berikan terbaik lawan Terengganu dan cuba adaptasi cara permainan yang saya cuba terapkan,” ujarnya.

Ketika ini, Perak hanya mencatat dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan menyaksikan skuad Seladang berada di kedudukan ke-11 liga.

Sementara itu, penyerang import asal Argentina Luciano Guaycochea mengakui persediaan pasukan berjalan lancar selepas Yusri kembali bersama Perak.

Namun katanya, perkara utama harus dilakukan adalah perlu mengubah beberapa mentaliti untuk lebih maju ke hadapan.

“Jurulatih datang dengan idea yang kami perlukan, untuk mengekalkan idea ini dengan pantas kami perlu mengubah prestasi.

“Kerana jika kami menukar prestasi, keputusan akan datang. Jadi saya harap Sabtu ini boleh mula menukar prestasi untuk peminat serta mendapatkan rentak (kemenangan),” katanya dilantik kapten pasukan.