KAPTEN baharu skuad kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim sanggup melupakan hasratnya bercuti bersama keluarga semata-mata demi berkorban untuk pasukan kebangsaan.
Kehadirannya dalam skuad yang dibarisi gabungan pemain senior dan baharu akan digalas sebaik mungkin Faisal dengan memberi tips berguna kepada pemain lain dalam sesi latihan.
“Saya ketepikan cuti saya dengan keluarga dan saya datang sini untuk membantu Malaysia sebaik mungkin.
“Yang paling penting adalah membantu jurulatih dan bagi maklumat kepada rakan-rakan, bantu rakan-rakan. Saya ada untuk sampaikan. Yang paling penting pasukan Malaysia harus memberikan sesuatu dalam kejohanan kali ini.
“Tiada yang dirancang sebenarnya. Tetapi apabila jurulatih menelefon saya lebih awal, Mickey awak hendak turut serta panggilan kebangsaan.
“Selepas itu, saya beri keputusan. Saya terima tawaran jurulatih. Saya hendak bantu Malaysia. Saya cakap dekat isteri saya, daddy hendak bantu Malaysia. Selesai ini, kita akan pergi bercuti kembali,” jelasnya sebelum sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya.
Bekas pemain Terengganu FC itu menganggap segala kritikan peminat adalah normal tetapi ianya patut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik bersama skuad kebangsaan.
“Benda ini memang normal. Kita tidak boleh anggap kita tidak menerima kritikan dari rakyat Malaysia sendiri. Mereka harus faham kita bermain untuk menang. Tiada pasukan yang bermain untuk kalah. Terpulang untuk mereka menilai kami,” katanya.
Biarpun begitu, dia mengakui sejak dibimbing DNA Korea, Kim Pan-gon, Harimau Malaya sudah menunjukkan perkembangan positif apabila mampu bersaing dengan beberapa pasukan yang turut mempunyai barisan pemain yang handal.
Dengan kombinasi pemain yang dipanggil Pan-gon, dia berharap pemain dapat mengotakan apa yang dimahukan jurulatih Korea itu.
“Pasukan Malaysia , saya lihat satu perubahan yang ketara. Yang pentingnya, inilah masanya untuk pemain memahami satu sama lain. Saya harap pemain baharu yang datang dapat ikuti taktikal jurulatih Kim Pan-gon.
“Percayalah cakap saya , jika semua dapat berikan apa yang jurulatih mahukan, perkara ini akan menjadi baik,” kongsinya.
Dengan pencapaian positif layak ke Piala Asia serta naib johan Piala Raja-Raja Thai, dia mengharapkan agar rakyat Malaysia terus mendoakan kesejahteraan pasukan dalam menghadapi setiap kejohanan selepas ini.
“Sudah tentu ekspektasi sudah tentu tinggi. Sebelum ini, kita berjaya buat yang terbaik. Kita doa untuk buat yang terbaik sekiranya diberi peluang. Saya ingin ucapkan tahniah kepada pemain yang baru dipilih. Jangan takut dengan kritikan. Kritikan inilah yang membuat kita lebih berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, dia menggambarkan dua aksi persahabatan bertemu Kemboja dan Maldives merupakan kayu pengukur sejauh mana Malaysia mampu mara di Kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2022 Disember ini.
“Kalau kita tidak boleh lepas dengan Kemboja, bagaimana kita mahu hadapi kejohanan nanti.
“Apa yang pentingnya, persahabatan dengan Kemboja. Ia adalah satu lesen samada kita berjaya atau tidak. Sekiranya pasukan Malaysia dapat buat yang terbaik pada perlawanan persahabatan ini, kita akan mendapatkan semangat juang yang tinggi dari rakan-rakan,” dedahnya.