PENGENDALI UiTM FC, Ismail Ibrahim tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya meskipun jentera serangan gagal menghasilkan gol  biarpun beraksi di laman sendiri.

Jelasnya, dia telah menyuruh pemain untuk mengawasi pemain berbahaya Sabah FC seperti Saddil Ramdani dan Baddrol Bakhtiar namun mereka tetap melakukan kesalahan tersebut pada posisi yang menjadi territory Badrol Bakhtiar menerusi sepakan percuma.

“Pasukan UiTM tetap memberi saingan kepada pasukan Sabah kerana mereka mungkin menurunkan barisan yang tidak 100 peratus kuat.

“Tetapi kita dapat beri saingan cuma peluang yang kita dapat, kita tidak jaringkan.

“Saya dah pesan kepada pemain jangan bagi free kick dekat depan gol kerana mereka ada Baddrol dan Saddil. Tetapi mereka tetap berikan jadi kita harus terima padahnya,” ujarnya kepada media selepas tamat perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam.

Meskipun ketinggalan satu gol, dia berpendapat skuad The Lion Troopers masih berpeluang melakukan magis di Sabah seandainya pemain dapat menyerap tekanan luar biasa di Sabah.

“Kita masih mempunyai peluang, cuma tekanan di Sabah mungkin lebih. Jadi, saya harap pemain UiTM bersedia untuk menerima tekanan yang lebih hebat di Sabah,” katanya.

Ketika ditanya sebab bermain secara bertahan, dia menjelaskan pemain hanya mengikut strategi dan taktikal yang diterapkan olehnya kerana sedar Sabah sebuah pasukan yang kuat dan tidak mustahil jika bermain secara terbuka, The Rhinos akan berpesta gol di Shah Alam malam ini.

“Kita mengikut strategi berpandukan kekuatan kita. Kita tidak boleh bermain secara open game kerana kita tahu pasukan Sabah kuat. Kalau kita main open game, lagi banyak kita kena,” ujarnya.

Ketika ini sasaran UiTM FC untuk ke Piala Malaysia sudahpun berjaya direalisasikan namun turut mengintai slot untuk ke suku akhir Piala Malaysia.

“Saya letakkan untuk kita layak ke Piala Malaysia dan itu kita telah dapat. Kita akan cuba layak ke suku akhir. Semoga kita berjaya di Sabah,” kongsinya.

Sementara itu, satu gol sumbangan George Tetteh Attram setidak-tidaknya dapat mengembalikan keyakinannya untuk menjaringkan lebih gol pada aksi timbal balik meskipun gagal berada pada prestasi sebenar.

“Tidak 100 peratus. Mungkin dia lama tidak main, jadi itu mungkin tekanan kepada dia. Sekurang-kurangnya dia berjaya menjaringkan satu gol untuk membakar semangat dia supaya dia lebih yakin,” katanya.