JURULATIH Skuad Hoki Remaja Kebangsaan yang baharu dilantik Muhammad Amin Rahim gembira dengan kemunculan bakat-bakat baharu yang dapat dilihat ketika acara hoki Sukma 2022 yang baru melabuhkan tirai hujung minggu lalu.

Amin yang kini turut bersama pasukan senior kebangsaan dalam jelajah Eropah di Brussels, Belgium juga dalam fasa mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Piala Sultan Johor yang bakal berlangsung dari 22-29 September 2022.

“Saya dapat lihat banyak pemain yang berpotensi dari Sukma 2022 ini. Namun apa yang penting adalah saya lebih suka melihat dari sudut sikap pemain, kemahuan untuk menang, semangat melawan dan disiplin yang tinggi di dalam dan juga di luar padang.

Muhammad Amin Rahim

“Susah tentu skil dalam hoki itu penting tetapi dalam permainan hoki moden yang memerlukan kepantasan dan kekuatan, semua elemen yang saya nyatakan tadi tidak boleh diabaikan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Ditanya tentang persiapan pasukan ke Piala Sultan Johor, Amin sudah memilih 30 pemain untuk membentuk skuad yang mantap ke kejohanan hoki antarabangsa bawah 21 tahun yang sudah dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Buat masa sekarang, kami sudah memilih 30 pemain dari sesi pemilihan bagi skuad ke Piala Sultan Johor yang merangkumi pemain daripada Liga Hoki Remaja Kebangsaan dan juga Sukma dan kami akan pilih yan terbaik untuk mewakili Malaysia di kejohanan itu.

Selain Malaysia, Australia, Great Britain, Jepun, India, dan Afrika Selatan telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Piala Sultan Johor yang akan diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Sejak dianjurkan pada 2011, Malaysia muncul juara edisi pertama dengan Great Britain menjadi pasukan terbaik apabila menjuarai kejohanan ini tiga kali dengan kali terakhir melakukannya pada 2019 apabila mengatasi India 2-1 pada aksi final dan Malaysia ketiga.