[EKSKLUSIF]

PENGLIBATAN sosok politik dalam senario bola sepak tempatan bukanlah perkara baharu tetapi ianya sudah dianggap sebagai satu keperluan sejak dari zaman semi pro hingga ke zaman pemodenan kelab ketika ini.

Sosok politik juga sering menggunakan sukan bola sepak sebagai platform untuk meraih sokongan dan meluaskan pengaruh kerana bola sepak adalah sukan yang popular dan digemari majoriti penduduk di negara ini.

Namun banyak berita kurang enak didengari apabila ada ahli politik yang hanya menggunakan bola sepak untuk kepentingan peribadi dan tidak mengambil kira kebajikan pemain mahupun pembangunan kelab yang mana akhirnya pemain dan jurulatih menjadi mangsa.

Bagaimanapun isu ini menjadi perkara sebaliknya buat Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang tidak mahu menggunakan pengaruhnya sebagai ahli politik untuk kepentingan peribadi tetapi berniat untuk memajukan kelab dengan menarik lebih banyak penaja.

Khalid berkongsi secara eksklusif kepada FLASH SUKAN menegaskan dia juga bertindak sebagai penghalang kepada mana-mana pihak yang mahu menjadikan kelab Kuala Lumpur City FC itu sebagai tempat untuk meraih kepentingan peribadi.

“Sumbangan saya kepada kelab ini adalah menghalang mereka yang mempunyai agenda tersendiri dengan menentukan kelab itu diuruskan secara professional dan berikan kebebasan sepenuhnya kepada pengurusan dan barisan kejurulatihan untuk menguruskan kelab.

Khalid Samad ketika memperkenalkan penaja buat KL City FC 

“Saya juga tidak masuk campur apabila hasil kejayaan diperolehi kelab kerana pada saya ianya hasil usaha pemain dan semua yang terlibat dalam pengurusan kelab ini dan saya hanya menumpang gembira,” katanya.

Khalid yang dilantik sebagai Presiden selepas menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini tidak menolak penglibatan sosok politik dalam bola sepak asalkan individu itu tidak bermain politik dan mempunyai minat terhadap sukan itu.

“Kalau kita tidak berpolitik tidak mengapa, walaupun kita seorang ahli politik. Saya hanya menjadi pemudah cara untuk mendapatkan peruntukan buat kelab dan juga tidak mengganggu urusan seharian kelab terutama melibatkan pasukan bola sepak kerana ianya perlu dilakukan oleh mereka yang pakar,” jelasnya.

Sejak menerajui KLFA, Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard serta Bojan Hodak telah berjaya mencipta legasi mereka sendiri apabila muncul juara Piala Malaysia selepas 32 tahun pada 2021 dan layak ke final Piala AFC 2022 dan Piala FA 2022 meskipun hanya bergelar naib juara.