HANYA tempoh 45 minit permainan ditempuhi sejak kembali dari penggantungan, penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim enggan terlalu lantang melaungkan keyakinan, dapat mempamerkan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan selepas dipanggil menyertai kem latihan pusat.
Nada disuarakan Faisal yang lebih mesra dengan sapaan ‘Mickey’ itu, agak merendah diri, namun dia sendiri berkongsi kesungguhan untuk mempamer aksi terbaik jika mendapat peluang beraksi.
“Saya hanya beraksi selama 45 minit dan pemain lain sudah beraksi sehingga lima perlawanan.
“Jadi saya mengharapkan situasi ini tidak mendatangkan masalah, kerana sebagai pemain profesional, ini adalah tanggungjawab saya dan apa sahaja yang berlaku di belakang tabir, saya perlu teruskan demi skuad kebangsaan,” katanya, ditemui pada majlis Pelancaran Pestabola Merdeka di AEON Big Wangsa Maju.
Turut berlangsung, majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pasaraya besar AEON-Big.
Biarpun hanya 45 minit beraksi bersama Selangor, kemampuannya meledak dua gol ketika membantu Selangor FC membelasah Kelantan FC 2-0 dalam saingan Liga Super, sudah cukup untuk memikat Kim Pan-gon untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat.
Penggantungan selama sebulan yang dikenakan ke atas pemain ternyata tidak menjejaskannya yang berkobar-kobar mahu beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, minggu depan.
“Saya sudah bermain tanpa henti sejak Disember tahun lalu dan tidak berehat. Jadi Allah memberi cuti untuk saya berehat dan mengembalikan moral saya.
“Saya pun kembali dengan bertenaga dan kalau tiada apa-apa halangan, saya akan berikan yang terbaik demi skuad kebangsaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Faisal turut melihat saingan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan sebagai antara persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023, awal tahun depan.
“Ini satu kejohanan yang baik kerana ia sudah lama tidak dilangsungkan dan pertandingan ini amat baik untuk persiapan kita ke Piala Asia 2023.
“Saya harap barisan pemain dapat memberikan yang terbaik. Sebagai pemain generasi baharu, kita harap dapat memberi sesuatu yang baru kepada penyokong,” katanya.