ATLET boling negara, Muhammad Hafiz Zainuddin tidak meletakkan sebarang sasarannya menjelang Kuala Lumpur International Open Bowling Championships yang bermula 18 Mei ini.

Hafiz yang baharu sahaja merangkul kejuaraan pertama pada 5 Mei lepas menerusi Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-42 hanya mahu bermain secara tenang tanpa sebarang tekanan.

“Saya tidak mahu fikir sangat mengenai sasaran, saya hanya mahu menikmati kejohanan itu.

Hafiz baharu sahaja merangkul kejuaraan pertama dalam kariernya menerusi Terbuka Malaysia baru-baru ini.

“Walau bagaimanapun, jika saya mahu meletakkan apa-apa sasaran dalam kejohanan ini, sudah pasti saya mahu sasarkan untuk mendapatkan kejuaraan,” katanya selepas ditemui media.

Hafzi turut bersedia untuk beraksi biarpun tempoh rehat yang singkat diantara kejohanan sebelum ini dan Sabtu ini.

“Saya boleh kata yang saya sudah bersedia sebab saya selalu berlatih kat sini.

“Kita masa berlatih akan lebih fokus kepada apa yang kita buat dan hadapi jadi saya rasa lebih bersedia dengan Terbuka KL yang akan diadakan di Sunway Megalanes ini.

“Kejohanan-kejohanan seperti ini yang bagus untuk saya dan para atlet yang lain sebab ia membantu kami untuk dapatkan pengalaman kejohanan, membantu kami untuk bermain dalam suasana mode kejohanan dan paling penting dapat beraksi bersama atlet luar negara,” ujarnya lagi.

Biarpun Kuala Lumpur International Open Bowling Championships tidak menghadiahkan apa-apa mata untuk menaikkan ranking pemain,  tetapi Hafiz yakin bahawa kejohanan ini mampu menjadi pemangkin untuknya mencapai lebih banyak kejayaan.