KETUA pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila berjaya mengetuai kelabnya layak ke final Piala AFC selepas menewaskan Sogdiana Jizzakh dalam aksi final Antara Zon.

Dia yang dihubungi FLASH SUKAN menyatakan ini adalah kejayaan terbesar dalam kariernya dan juga buat kelab ini. Disamping itu, dia juga mahu terus menulis pelbagai lagi sejarah bersama-sama.

“Kami berasa sangat bangga dengan pencapaian ini. Kami adalah kelab dengan bajet yang kecil dan kejayaan ini melangkaui apa yang boleh kami bayangkan dan kerana inilah bola sepak sangat menakjubkan. Segalanya tentang semangat, komitmen dan kerja keras.

“Sudah tentu ini adalah kejayaan terbesar dalam karier saya dan juga dalam sejarah kelab ini. Saya berharap dapat menulis beberapa lagi cerita dan sejarah bersama-sama.

“Pasukan ini dibina atas dasar kerja keras tanpa ada pemain bintang dengan semua pemain mempunyai satu sasaran yang sama untuk memberikan segala-galanya di atas padang dan mencapainya,” kata pemain kelahiran Brazil itu.

Dia yang kini berusia 33 tahun mula menyertai Kuala Lumpur City FC pada 2017 dan sejak itu berkembang menjadi tonggak penting buat skuad kendalian Bojan Hodak dan berjaya layak ke peringkat kejohanan kelab Asia selepas menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Dalam penampilan pertama Kuala Lumpur City FC di Piala AFC, mereka kini bakal berhadapan wakil Oman, Al-Seeb pada final yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.