NAIB juara beregu campuran Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon mengakui gandingan bersama rakan baharu Cheah Yee See akan memberi cabaran terbaik kepadanya setelah meniti detik indah meraih perak Sukan Olimpik 2016 di Rio bersama Goh Liu Ying.

Bagaimanapun, Peng Soon enggan membandingkan kekuatan kedua-dua pasangan tersebut namun berharap keserasian tersebut berjaya dicapai dalam masa terdekat untuk memberi cabaran kepada kuasa besar pada tahap tertinggi kejohanan.

“Of course sekarang, tak boleh compare Yee See dengan Liu Ying, sebab saya dengan Liu Ying pun sudah lama, level pun sudah sampai sana.

“Jadi macam dengan Yee See macam baharu, segalanya bermula dari kosong, jadi saya harap saya dengan Yee See punya kombinasi boleh cepat-cepat boleh sampai tahap tertinggi,” jelas Peng Soon kepada  FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, dia juga menganggap dua kejohanan Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters 2022 adalah sebagai medan mencari pengalaman sebagai gandingan baru serta merupakan sesi pemanas badan untuk menghadapi kejohanan lebih besar selepas ini.

Gandingan Peng Soon- Liu Ying sebelum ini pernah mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, selain meraih dua emas berturut-turut dalam edisi Sukan Komanwel 2010 New Delhi dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.