PEMINAT England yakin Gareth Southgate menyesali keputusannya tidak memilih bintang Chelsea, Raheem Sterling, setelah penampilannya yang mengagumkan menentang Manchester City pada Ahad.
Penyerang berusia 28 tahun itu telah menjaringkan gol kedua Chelsea dan menjadi ancaman berterusan dalam keputusan seri 4-4 yang menakjubkan di Stamford Bridge.
Sterling kini mempunyai rekod menjaringkan lima gol dan dua bantuan musim ini, dengan persembahan menentang Man City mungkin menjadi yang terbaik.
Hal ini berlaku hanya tiga hari selepas Southgate yang tidak berada di Stamford Bridge pada Ahad membuat keputusan untuk ketepikan Sterling dari skuadnya lima kali berturut-turut.
The Three Lions bakal menentang Malta dan North Macedonia dalam kelayakan Euro 2024 akan datang walaupun mereka telah menempah tempat di Jerman pada musim panas depan.
Sterling tidak bermain untuk negaranya sejak keluar sebagai pemain gantian ketika England tewas 2-1 kepada Perancis pada suku akhir Piala Dunia tahun lalu.
Bos Three Lions memilih kumpulan penyerang Harry Kane, Ollie Watkins, Callum Wilson, Marcus Rashford, Bukayo Saka, Phil Foden, Jack Grealish, Jarrod Bowen, dan James Maddison.
Legenda Liverpool, Jamie Carragher memberitahu Sky Sports: “Sterling sangat cemerlang. Tidak syak lagi dia akan kecewa kerana tiada dalam skuad England. Saya rasa dia mempunyai kes.”
Sementara itu, bekas penyerang England Darren Bent berkata: “Sebenarnya ia memalukan Sterling tidak berada dalam skuad England.”
Para peminat turut mengutarakan pandangan yang sama kerana mereka percaya Southgate menyesali keputusannya untuk sekali lagi mengabaikan Sterling. Salah seorang berkata: “Southgate pasti berasa seperti orang bodoh. Tiada siapa yang ketepikan Sterling?”
Seorang lagi berkata: “Saya tidak tahu apa yang Gareth Southgate fikirkan, tetapi meninggalkan Sterling untuk kem yang akan datang adalah satu tindakan yang teruk.” Orang lain menambah: “Saya harap Southgate menonton Sterling hari ini.”
Sementara itu, pemain sayap Man City, Grealish yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam keputusan seri bersama Chelsea telah mencatakan statistik yang jauh lebih rendah daripada Sterling musim ini.
Sterling juga lebih memberi kesan kepada kelab berbanding Rashford dan Foden di peringkat kelab. Apabila ditanya mengenai ketiadaan Sterling dalam skuadnya pada awal minggu ini, Southgate menegaskan Sterling masih boleh kembali ke pasukannya.
Southgate berkata: “Pintu masih terbuka 100 peratus bukan hanya buat Raheem tetapi pemain lain juga. Kita tidak perlu tahu mengenai kualitinya, personalitinya. Dia seorang pemain penting yang menjadi bukti kejayaan kami dalam beberapa tahun terakhir.”
“Saya hanya boleh mengulangi apa yang saya katakan dalam mesyuarat, kami bermain dengan sangat baik dan siapa yang boleh saya tinggalkan?” tambahnya.