PEMAIN muda prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi berkongsi bahawa tidak akan berhenti daripada berusaha untuk terus membantu pasukan baik daripada sumbangan gol atau hantaran.
Pemain berusia 22 tahun ini terus menjadi sebutan dalam Liga Malaysia, tambahan aksi terbaiknya dengan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada Sabtu lalu yang disifatkan cukup bermakna dalam perlawanan terakhir Liga Super musim ini.
“Alhamdulillah dapat juga untuk menjaringkan gol apatah lagi dalam perlawanan terakhir liga dan rasa cukup menakjubkan apabila ramai yang datang untuk meraikan kejayaan ini.
“Saya juga teruja untuk meraikannya apabila kami menjuarai liga dan saya ingat saat ini sampai bila-bila dalam karier saya.
“Dan selepas ini macam mana kami menang trofi Liga Super, macam itu juga kami nak menang untuk aksi Piala Malaysia pula”, katanya.
JDT meraih trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas kekal rekod bersih tanpa kalah dalam 22 perlawanan untuk mecatat 56 mata keseluruhan.
Bintang muda kelahiran Pahang ini tidak mengambil masa lama untuk menyerlah bersama kelab utama gergasi tanah air sejak debut musim 2021 bertemu UiTM pada usia 19 tahun.
Sejak itu dia seolah-olah sukar berhenti dengan prestasi cemerlang sehingga dinobatkan antaranya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik, serta Pemain Muda Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021.