“SAYA juga tak terima keputusan ini, sudah mendahului, bangkit di set kedua, kalau dalam drama tentu saya sudah menang tapi inilah keputusannya.”
Kenyataan jaguh perseorangan lelaki negara ini membuktikan betapa Lee Zii Jia berasa kecewa dengan kekalahan kepada HS Prannoy di suku akhir Sukan Asia Hangzhou.
Sudah hampir melakukannya, namun mungkin belum sampai masa untuk Zii Jia meraih pingat di temasya Hangzhou.
Dalam pertarungan yang berlanjutan selama 78 minit di Gimnasium Binjiang itu, Zii Jia memegang dua mata akhir pada set penentuan, 20-18, tenggelam dek kebangkitan HS Prannoy dari India, sebelum pemain negara yang berada di ranking ke-16 dunia itu tunduk kepada lawan di nombor tujuh, 16-21, 23-21, 20-22.
“Saya sudah mengejar, menyamakan kedudukan dan mendahului tapi dia mampu kejar balik, apa lagi boleh saya lakukan.
“Jika orang lain mahukan kemenangan ini, saya lagi mahu menang,” kata Zii Jia mengenai situasi genting perlawanan suku akhir.
Zii Jia tewas set pertama bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun biarpun dia memegang mata akhir 20-18, namun Prannoy yang kelihatan penat, berjaya bangkit memenangi perlawan.
Kekalahan kepada Prannoy itu bermakna, Zii Jia kini ketinggalan 1-2 dari segi rekod pertemuan, namun setiap pertembungan antara dua pemain ini pasti berlangsung sengit.