HASRAT mahu menabur bakti sebagai jurulatih selepas mengumumkan persaraan tidak kesampaian, apabila dilantik memegang jawatan dalam bidang pentadbiran.
Perkara itu membingungkan juara enam kali Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah, yang berasakan pengalaman luasnya selama 26 tahun, bagaikan tidak cukup meyakinkan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).
Syarul Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Mike Mahen secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada dunia bina badan hari ini, kekal mahu bergelar jurulatih.
Bagaimanapun, Presiden MBBF Datuk Dr Ahmad Badrus Othman mempunyai perancangan sebaliknya, dengan memberinya jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bina Badan dan Fizik MBBF.
Menurut Mike, dia mahu menggunakan pengalaman 26 tahun sebagai atlet untuk membimbing atlet muda ke peringkat lebih tinggi.
“Saya lebih berminat menjadi jurulatih. Sukan bina badan ini bukan seperti acara 100m atau sebagainya, yang mana siapa sampai dulu dia menang.
“Ia sukan subjektif. Memerlukan hubungan yang baik dengan semua pihak dan ramai orang kenal saya dalam dunia bina badan ini. Malah saya ditawarkan sebagai duta pembangunan bina badan Asia Tenggara.
“Jadi mengapa tidak daripada saya menabur bakti untuk dunia luar lebih baik saya melatih atlet kita sendiri,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Umum bersara, Mike Mahen dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan MBF
Bagaimanapun Mike berkata, dia akan bertemu dengan MBBF untuk berbincang lebih lanjut hala tujunya dan juga skop tugasan yang ditawarkan oleh MBBF.
Mike berkata, dia memikirkan untuk bersara bagi memberi ruang kepada pelapis baharu, sejak Disember lalu.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan bina badan sejak berusia 24 tahun, beliau sudah memenangi hampir semua gelaran termasuk membolot gelaran juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November 2023.
Sebelum itu, beliau berjaya meraih gelaran juara Asia keenam di Nepal pada September dan mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, pada Ogos 2023.