JAGUH silat negara, Mohamad Al-Jufferi Jamari menganggap kondisinya berada pada tahap 80 peratus sebelum menghadapi Kejohanan Silat Dunia 2022 yang bakal dilangsungkan di MITC, Melaka bermula 26 hingga 31 Julai ini.
Semasa menjalani sesi latihan, bahunya dilihat terkeluar sedikit dari pergelangan bahunya dan ia memerlukan pembedahan untuk pulih.
“Saya masih ada lagi dua kaki, satu tangan, saya akan cuba yang terbaik. Bahu ini memang kene buat pembedahan. Sebab saya semalam masa latihan pun ada terkeluar sedikit. Untuk elak jadi frozen shoulder, kene bedah juga.
“Risiko dia akan tercabut balik, jadi kesakitan dia akan lebih teruk dari Sukan SEA. Dia kali pertama dia lain, kali kedua mungkin terus tidak boleh main. Kita dah tahu rasa sakit itu macamana, ia agak mengganggu saya punya fokus,” katanya kepada media selepas acara penyerahan Jalur Gemilang.
Sementara itu, dia tetap bersemangat dan tidak melihat sebarang tekanan namun masih belum menemui fokus kerana kecederaan dan kesakitan yang dialami jelas menjadi faktor kepada konsistensi persembahan yang bakal dipamerkan nanti.
Jelasnya, pada ketika ini pasukan lawan sudah mengetahui titik kelemahan yang ada padanya. Mereka sudah pasti akan melakukan serangan lebih ke bahagian kecederaan yang dialami Al-Jufferi.
“Dari semangat, tekanan saya tiada masalah cuma fokus saya masih tercari-cari lagi apa teknik yang perlu digunakan. Ada beberapa teknik yang dah dibincang dengan jurulatih jika berlaku kembali kecederaan tersebut. Pasukan lawan tahu saya sertai kejohanan dunia, jika kita tahu pihak lawan cedera, itu adalah markah kita untuk melemahkan dia,” ujarnya.
Ketika ditanya mengapa masih berani mengambil risiko, dia menyifatkan dilahirkan untuk berjuang dan sejak dari kecil bercita-cita menaikkan nama silat di Malaysia.
Al-Jufferi bakal beraksi di Kejohanan Silat Dunia buat kali terakhir pada edisi Kejuaraan Dunia Silat ke-19, Melaka sebelum mengumumkan persaraannya.
Sebelum ini, dia pernah mengharumkan nama negara dengan menguasai kelas E (65-70kg) apabila meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017) termasuk tiga kejuaraan dunia secara berturut-turut. Kali ini dia akan beraksi untuk kelas F (70-75 kg).