MANTAN Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D. Shahriman mahukan maklum balas daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tentang status penggantungan 18 bulannya dari sebarang aktiviti berkaitan hoki.
Ini selepas beliau dikenakan hukuman lanjutan 12 bulan pada April 2022 selepas didapati melanggar kod etika undang-undang yang ditetapkan MHC sedangkan dirinya masih menunggu jawapan daripada pihak pengelola hoki negara.
Megat juga tidak mahu pihak KHM menggunakan nama Yang DiPertuan Agung seperti yang tertera di kepala surat rasmi dengan cubaan menghukumnya tanpa penjelasan yang jelas.
Beliau yang ditemui ketika sidang media pengumuman penglibatan kelab hoki Hockacademy ke kejohanan jemputan antarabangsa di Bali Indonesia sudah mengemukakan peguam untuk mendapat maklum balas daripada KHM.
“Selepas lebih dua tahun menunggu masih saya masih tidak mendapat jawapan. Saya didakwa atas kesalahan meminta wang kemenangan untuk pasukan Hockacademy selepas enam bulan kejohanan MHL 2020 itu tamat dan atas sebab itu saya digantung.
“Ketika saya sedang menunggu maklum balas saya telah dikenakan penggantungan tambahan 12 bulan pada Januari 2022 selepas membuat program bual bicara bersama legenda hoki dunia Shabaz Ahmad secara dalam talian pada Januari 2022.
“Pihak KHM menggesa saya melakukan rayuan tetapi bagaimana saya hendak merayu jika tiada keputusan yang disabitkan keatas saya. Saya hanya digantung 30 bulan berdasarkan sepucuk surat rasmi daripada mereka.
“Saya akan membuat rayuan jika benar hukuman dijatuhkan keatas saya yang jelas mengheret nama Yang DiPertuan Agong untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam sidang media itu.
Megat menyerahkan sepenuhnya kini kepada KHM untuk membuat keputusan selepas peguamnya sudah menghantar surat untuk mendapatkan maklum balas dan keputusan mereka.
Beliau juga menyatakan tetap akan ada dalam senario hoki tempatan terutamanya dalam pembangunan hoki di peringkat akar umbi serta perhubungan antarabangsa dengan persatuan hoki luar negara.