[EKSKLUSIF]

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah masih mempercayai keupayaan semua pemain dan barisan kejurulatihan Selangor FC yang ada sekarang.

Mengambil maklum prestasi semasa, Tengku Amir Shah percaya skuad kendalian Michael Feichtenbeiner dalam proses menjadikan pasukan lebih baik walaupun perubahan yang kecil.

“Perjalanan Selangor FC masih jauh. Kami akan sampai ke tahap yang diinginkan dan sedang melakukan progres itu. Saya masih mempercayai semua pemain dan juga barisan kejurulatihan. Mereka perlu bekerja lebih keras dan kita akan lihat hasilnya.

“Apa yang perlu diperbaiki adalah diri mereka sendiri. Para pemain perlu melihat kepada diri sendiri untuk lebih percaya kepada keupayaan mereka dan seterusnya lebih percaya kepada teman sepasukan.

“Sebagai contoh bahagian pertahanan perlu lebih memantapkan persefahaman sesama mereka. Tidak banyak perubahan yang perlu diperbaiki berdasarkan bahagian tetapi secara keseluruhan semua yang ada dalam pasukan perlu melakukan perubahan,” kongsinya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan separuh akhir Piala FA yang menyaksikan Gergasi Merah ini tewas menerusi penentuan penalti (2-4) selepas terikat 1-1 sama pada aksi sebenar, Tengku Amir Shah mengakui ianya adalah sukar.

“Saya lihat kami kurang bersedia untuk mengambil penalti. Zaman ini penalti bukanlah seperti dahulu. Ianya lebih sukar dengan penjaga gol yang mempunyai refleks pantas. Tekanan mental ketika berhadapan puluhan ribu penyokong lawan telah menjejaskan pemain kita dan kita kurang bernasib baik,” jelasnya.

Pada kesempatan itu juga Tengku Amir Shah menyeru kepada para penyokong Selangor FC untuk terus hadir ke stadium memberikan sokongan dan menikmati malam bola sepak bersama rakan dan keluarga.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang memberikan sokonhan. Saya ada lihat semua komen anda dan semua mahukan perubahan dan progres. Saya boleh pastikan setakat ini kami sememangnya melakukan progres.

“Teruskan hadir ke stadium. Hadir dengan niat yang betul untuk menyokong Selangor. Nikmati permainan ini bersama keluarga dan rakan-rakan dan saya sentiasa gembira melihat kehadiran penyokong di stadium,” tambahnya.