PROLIFIK tengah Selangor FC, Brendan Gan menjelaskan dia mahukan Caion mengambil sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan tersebut untuk mengembalikan keyakinannya sebagai penyerang.

Jelasnya, setelah sekian lama gagal mencipta kemenangan besar, akhirnya Gergasi Merah kembali hadir dengan keputusan yang baik.

Diraikan bersama peminat, Brendan akui meraih kemenangan bersama penyokong adalah sesuatu yang sangat istimewa memandangkan Selangor FC sudah lama dahagakan kejayaan sebegini.

Sambutan di Stadium MBPJ selepas tamat perlawanan semalam umpama perlawanan akhir dan ianya disambut meriah bersama penonton yang sudah lama menantikan saat sebegini.

“Sudah tentu saya ingin melakukan hatrik. Tetapi kami bertindak secara pasukan bukan secara individu.

“Saya mahu Caion untuk ambil sepakan penalti itu. Saya mahu dia untuk kembali mendapat keyakinan. Dia pemain yang sangat bagus dan penting bagi kami.

“Ia sangat hebat untuk meraih kemenangan. Untuk raikan bersama penyokong, ia adalah sesuatu yang istimewa.

“Saya harap mereka akan dapat terus menyokong kami dan menjadi pemain ke-12,  penyokong sangat penting bagi saya,” ujarnya.