PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui dia menangis selepas tidak berjaya layak ke pusingan seterusnya dalam acara 100 meter ketika Sukan Olimpik Paris 2024 adalah disebabkan rasa kecewa yang amat sangat terhadap dirinya.

Azeem layak ke Paris dengan tiket wildcard cuba memecahkan rekod peribadinya 10.09 saat namun tidak dapat melakukan demikian dalam saingan yang cukup sengit antara kesemua pelumba yang mengambil bahagian.

Dia turut mengakui rasa kecewa itu timbul kerana dia memikirkan mengenai semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya namun dia tidak berjaya memenuhi impian mereka.

“Saya menangis sebab saya terkilan tidak dapat perbaiki masa saya kerana saya sentiasa mempunyai keyakinan dengan diri sendiri. Ramai juga kadang lupa yang atlet juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan yang mempunyai hak untuk berasa sedih.

“Saya cuma sedih kerana saya tidak dapat buat yang terbaik untuk diri saya dan hampakan mereka yang mendoakan saya tetapi saya anggap ini adalah proses pembelajaran buat saya untuk masa depan dan saya akan kembali lebih baik.

“Pengalaman di Paris ini bukan 100 peratus terbaik tetapi saya perlu menerimanya kerana ini adalah Olimpik dan ianya sesuatu yang cukup berharga buat saya pada usia 20 tahun,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.

Azeem turut gembira menjalani latihan di Amerika Syarikat kerana persekitaran yang dianggap sesuai untuk melahirkan atlet-atlet bertaraf pro seperti pemenang pingat emas, Noah Lyles.

“Belajar di Amerika ianya bukan mengenai tempat tetapi mengenai persekitaran yang baik untuk atlet. Noah Lyles kini sudah berusia 27 tahun tetapi pada ketika dia berusia seusia saya, dia sudah pun antara pelari muda terpantas.

“Kini saya berpeluang mendapatkan persekitaran latihan yang sama dengan rakan sepasukan yang mempunyai catatan masa yang cukup bagus. Saya yakin dengan pelan jurulatih untuk saya berkembang dan relevan untuk jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Azeem juga turut menegaskan ini bukanlah penamat buat dirinya di Olimpik tetapi ini adalah permulaan dan dia akan bangkit sebagai atlet yang lebih baik untuk membawa nama Malaysia di persada dunia.