PERTAHANAN kental Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana melakukan kesilapan pada perlawanan menentang Myanmar sehingga menyebabkan Myanmar mendapat sepakan penalti.
” Saya meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan yang saya buat. Di situ, banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki.
“Untuk perlawanan seterusnya, saya akan cuba buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara itu, ketiadaan Jimmy turut dirasai di bahagian pertahanan kebangsaan namun yakin barisan pemain simpanan mampu memberi aksi terpuji dalam perlawanan menentang Vietnam Selasa ini.
” Ketiadaan Jimmy merencatkan sikit percaturan coach Kim tetapi saya rasa jurulatih ada pelan yang terbaik untuk menggantikan pemain. Pasukan juga ada pemain standby untuk bermain dan kita akan cuba sekat Vietnam dan bermain habis-habisan,” ujarnya.
Menjelang aksi menentang pasukan The Golden Star Warriors pada 27 Disember, dia menyeru rakan-rakan untuk tenang berdepan asakan pasukan Vietnam yang dijangka akan turun dengan corak menyerang.
“Sebagai pertahanan, kita perlu settle down awal ketika menentang Vietnam. Kita tahu mereka bukan pasukan calang-calang. InshaAllah kalau rezeki, kami akan menang menentang Vietnam,” katanya.
Harimau Malaya telah berlepas ke Hanoi sebentar tadi menjelang aksi ketiga Piala AFF Mitsubishi Electric berdepan Vietnam Rabu ini.