KEMENANGAN ke atas Laos dalam aksi pertama Sukan SEA 2023 menutup kecaman yang mungkin disasarkan kepada tonggak pertahanan skuad bawah (B-22) tahun negara, Ubaidullah Shamsul Fazili.

Kisahnya bermula apabila Ubaidullah menyumbat gol pertama untuk Malaysia tetapi menjadi igauan apabila dia terjaring gol sendiri bagi Laos berjaya menyamakan kedudukan.

Kegelisahan pemain kelahiran Kelantan itu berakhir selepas pemain Laos, Anantaza Siphongphan turut tertampan ke gawang sendiri pada minit ke-28.

“Saya jadi lega apabila tengok pemain Laos pula menjaringkan gol sendiri untuk Malaysia. Kalau tak, memang dah kena kecam.

“Kemenangan yang diraih ini sedikit sebanyak menutup kesilapan yang saya buat (babak pertama).

“Syukur apabila rakan sepasukan banyak berikan sokongan, begitu juga barisan kejurulatihan. Mereka tidak beri reaksi yang bukan-bukan, sebaliknya memberikan kata-kata sokongan buat saya untuk meneruskan perlawanan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Prince, Phnom Penh.

Dia berkata, segala apa yang berlaku pada perlawanan itu menjadi proses pembelajaran, mirip seperti yang terjadi di Piala Merlion di Singapura.

Sementara itu, Ubaidullah yang membuat penampilan kedua di kejohanan dwitahunan itu mengakui Thailand lawan yang liat dan menjadi pilihan untuk memenangi semula pingat emas.

“Kita semua tahu Thailand pasukan yang kuat dan pasukan pilihan di Sukan SEA, jadi kami perlu berusaha lebih kuat untuk menentang mereka,” katanya.