SAYA nak fokus kepada majlis perkahwinan saya,” kata Aaron Chia ketika menjawab pertanyaan mengenai perkara pertama mahu dilakukannya selepas kembali dari Tokyo, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Majlis perkahwinan Aaron, 25, dengan Mei Qi, 30, dijangka berlangsung pada 16 September ini.

Aaron dengan wajah penuh keceriaan ketika disambut dalam majlis sambutan wira pagi tadi berkata, kepulangan mereka kali ini lebih bermakna kerana sambut ahli keluarga, termasuk isteri dan anak-anak.

Selain melakukan persiapan majlis perkahwinannya, Aaron juga mahu berehat seketika bagi membolehkan kecederaan bahu kanan, pulih sepenuhnya.

“Kecederaan ini tidak teruk, tapi saya perlu berehat untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata Aaron.

Mei Qi bersama dua anak Elisa, 3, dan Alvee, 7, tiba di KLIA kira-kira jam 9 pagi.

“Hari ini saya sangat gembira kerana dia (Aaron sudah dapat apa yang dia mahukan. Memang dia tidak nyatakan sebelum ke Kejohanan Dunia tapi ini sememangnya sasaran mereka (Aaron-Soh Wooi Yik),” kata Mei Qi.

Sementara itu, Soh Wooi Yik, 24, mahu menghabiskan masa bersama keluarganya di rumah dan tidak merancang untuk pergi bercuti.

“Paling penting saya nak habiskan masa bersama keluarga. Mungkin beberapa hari bersama mereka , tidak boleh lama, kerana saya perlu kembali jalani latihan.

“Bercuti tu boleh tunggu habis semua kejohanan tahun ini, mungkin Disember baru boleh bercuti dan berehat,” katanya.

Gandingan terbabit tidak boleh berehat lama kerana mempunyai dua lagi kejohanan bertaraf Super 750 iaitu Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Oktober dan Terbuka Perancis, pada 25 hingga 30 Oktober, selain layak ke Saingan Akhir Jelajah Dunia, selepas muncul lapan gandingan terbaik jelajah dunia.

Selepas muncul juara dunia, Aaron-Wooi Yik menyasarkan untuk menempatkan diri ke ranking nombor satu dunia.

“Kejuaraan dunia yang kami perolehi ini sangat baik kerana kami naik ranking dan saya harap suatu hari nanti dapat menjadi pemain nombor satu dunia.

“Gelaran yang kami dapat juga menaikkan lagi motivasi kami, naikkan semangat perjuangan untuk di bawa ke kejohanan seterusnya,” kata Aaron.

 

Sementara Wooi Yik pula berkata, gelaran di Kejohanan Dunia sangat berprestij akhirnya, tapi mereka belum ada gelaran Saingan Akhir Jelajah Dunia.

“Tentunya kami ada sasaran dan harap dapat menang di saingan Akhir Jelajah Dunia, tapi kita uruskan satu persatu.

“Ketika ini, kekalkan prestasi ini untuk menghadapi Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis terlebih dahulu,” kata Wooi Yik.

Pada edisi 2021 di Bangkok, Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan Akhir Jelajah Dunia dengan hanya beraksi di peringkat kumpulan.