PEMAIN Kuala Lumpur (KL) City FC, Sean Giannelli akur dengan pendiriannya untuk tetap berada di bawah payung The City Boys walaupun pasukan itu sedang terpalit dengan isu dalaman seperti masalah pembayaran gaji pemain.

Sikap bertanggungjawab oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stanley Bernard telah membuatkan Sean meletakkan kepercayaan yang tinggi untuk dirinya terus kekal berada di Kuala Lumpur.

Tambahan, Sean menjelaskan bahawa khidmatnya masih diperlukan oleh Stanley, oleh itu, kontraknya selama dua tahun akan digunakan sehabis baik untuk membalas jasa CEO pasukan tersebut.

“Pada awalnya, saya masih di KL adalah disebabkan perkara peribadi. Namun, setelah berunding dengan Stanley dan dia juga ingin saya kembali ke KL, jadi saya terus menandatangani kontrak selama dua tahun.

Sean Giannelli antara tonggak pemain di KL City sejak tahun lalu.

“Berbaki lagi setahun untuk saya membalas jasa Stanley. Saya selalu percaya dengan Stanley, dia memang bekerja keras untuk KL City.

“Setiap masalah yang berlaku ini bukan daripada siapa-siapa, dan tiada siapa yang berkehendak untuk menimbulkan isu ini,” ujarnya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sean mengharapkan agar KL City kembali bersinar pada musim 2024-2025, apatah lagi dengan adanya penaung baharu, Fahmi Fadzil yang menjamin untuk menyelesaikan segala permasalahan yang sedang dialami.

Sean yang telah bersama dengan The City Boys sejak musim 2023 telah berjaya mencatatkan tiga jaringan dalam keseluruhan 15 perlawanan yang diharungi.