KETUA Jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon melahirkan rasa berpuas hati kepada semua pemain secara individu selepas apa yang ditunjukkan sepanjang dua minggu di dalam kem latihan pusat.

Pan-gon turut mengucapkan tahniah kepada para pemainnya kerana berjaya memperolehi kemenangan meskipun persembahan pada babak pertama dilihat kurang lancar namun dapat diperbaiki pada separuh masa kedua ketika aksi perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives, Rabu.

Bekas pengendali Hong Kong itu juga menyatakan intensiti permainan yang diharapkan sedikit berkurangan pada perlawanan malam ini jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Kemboja Jumaat lalu

“Saya tidak pernah memarahi pemain saya kerana mereka sudah mencuba sehabis baik dan berjaya menjaringkan gol. Apa yang mereka lakukan sejak dua minggu ini dengan berlatih bersungguh-sungguh dan menunjukkan komitmen yang tinggi dan kesemuanya berada pada keadaan yang baik.

“Mereka bukan lagi budak sekolah. Mereka adalah pemain profesional yang sangat baik dan jika kita tewas sekalipun malam ini saya akan menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan.

“Saya ucapkan tahniah kepada para pemain kerana berjaya mencatat kemenangan walaupun tidak lancar dan sedikit bergelut pada babak pertama. Kami menganalisa dan memberitahu apa yang diperlukan kepada pemain dan akhirnya aksi pada babak kedua bertambah baik.

Kim Pan-gon

“Perlawanan malam ini juga berintensiti tinggi kerana itu adalah kehendak yang saya mahukan. Saya lebih berpuas hati pada perlawanan pertama namun kami lebih baik pada babak kedua. Kita juga dapat lihat intensiti pemain bertambah baik jika dibandingkan dengan kem latihan sebelum ini,” kata Pan-gon pada sesi sidang media selepas perlawanan.

Ditanya adakah dia sudah mengenalpasti 23 pemain yang bakal dibawa ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Pan-gon mengatakan dia tidak menilai pemain berdasarkan individu tetapi lebih pada kesesuaian taktikal dan para pemain tidak boleh dinilai hanya bersandarkan perlawanan malam ini sahaja.

“Kita belum mengetahui senarai akhir 23 pemain namun ianya akan diumumkan secepat mungkin sama ada esok atau lusa. Kesemua pemain memuaskan hati saya secara individu dan saya tidak menilai hanya berdasarkan perlawanan malam ini sahaja tetapi seperti yang saya katakan ianya semua adalah berdasarkan kesesuaian taktikal,” tambahnya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama pengendali Maldives, Francesco Moriero berkata dia gembira dengan persembahan pemainnya meskipun sudah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif namun kesilapan individu menyebabkan mereka tewas kepada Malaysia.

Francesco Moriero

“Saya gembira kerana pasukan saya bermain sangat baik dengan intensiti dan taktik yang baik menentang pasukan yang kuat seperti Malaysia namun tiga kesilapan individu menyebabkan kami tewas tetapi secara keseluruhan ianya adalah perlawanan yang cukup baik buat kami,” katanya.

Malaysia berjaya membenam cabaran Maldives 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menerusi jaringan Darren Lok, Faisal Halim dan Lee Tuck.