ATLET atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah antara salah seorang penerima insentif sebanyak RM10,000 daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) setelah membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Semalam, berlangsung Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor di Hotel Concorde Shah Alam melibatkan dua ratu sukan tanah air yang menerima ganjaran utama pada majlis berkenaan.

Malah, Farah yang juga juara dunia di Kejohanan World Bowls Indoor Championship di Guernsey pada April lalu,  sama sekali tidak pernah membayangkan akan menerima insentif daripada pihak kerajaan negeri, kerana berpendapat masih ramai atlet lain yang lebih bagus daripadanya.

Farah Ain terharu menerima insentif sebanyak RM10,000.

“Sebelum-sebelum ini, saya tengok atlet-atlet lain yang dapat. Saya tak menjangka perkara ini kerana saya hanya bermain boling padang. Sukan ini tidak sepopular sukan-sukan lain dan apabila diberitahu tentang khabar baik ini, saya rasa dihargai sebagai seorang atlet.

“Ganjaran ini juga telah menaikkan lagi moral dan semangat saya untuk membawa nama boling padang ke arah lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Sabtu.

Pada majlis berkenaan, ratu tenpin boling negara, Natasha Roslan turut menerima insentif berjumlah RM10,000 setelah memegang gelaran juara di Kejohanan Bowling Dunia Salmiya, Kuwait tahun lalu.

Lapan atlet SUKMA Selangor menerima insentif kerana capai keputusan cemerlang SPM.

Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Selangor telah disempurnakan oleh Mohd Najwan Halimi, Exco Belia Sukan & Keusahawanan diiringi Datuk Mohd Yazid Sairi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) dan Mohamad Nizam Marjugi, Pengarah Eksekutif MSNS.

Pada majlis itu juga, seramai lapan Atlet Sukma Negeri Selangor menerima sumbangan insentif setelah mencatatkan keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.