JOHAN Ghazali sekali lagi membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa apabila menumbangkan lawannya, Josue Cruz, dalam acara ONE 168, Denver sebentar tadi.

Dalam pertarungan yang penuh aksi tersebut, Jojo, mencatatkan kemenangan knockout (KO) pada detik-detik akhir pusingan pertama, mengukuhkan statusnya sebagai salah satu bakat MMA yang paling menakjubkan.

Dengan hanya beberapa saat sebelum tamatnya pusingan pertama, Jojo melancarkan tumbukan kencang tepat ke muka Cruz, sekali gus menghentikan perlawanan.

Kemenangan ini bukan sahaja memperlihatkan kemahiran dan ketajamannya di dalam gelanggang, malah memberikan makna yang lebih mendalam kerana ia berlangsung di Denver, kampung halaman ibunya.

Selepas perlawanan, Jojo sempat berkongsi perasaannya ketika ditemu bual oleh pengulas.

“Ia sangat baik, ia sangat menakjubkan. Pertama sekali, sebelum apa-apa, saya ingin mengucapkan Alhamdulillah. Tuhan telah memberikan saya segala-galanya. Jika anda bertanya kepada saya empat atau enam tahun yang lalu sama ada saya akan berada di kedudukan saya hari ini, saya akan katakan ya. Saya telah bekerja keras, konsisten setiap hari dengan peluh, darah, dan air mata dan ya, Alhamdulillah,” ujarnya.

Jojo juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada keluarganya serta rakyat Malaysia yang sentiasa bersamanya.

“Terima kasih kepada keluarga saya dari New Mexico, Farmington dan pastinya, assalamualaikum kepada semua orang Malaysia! Apa khabar di sana? Sihat ke? Saya rindu orang Malaysia. Malaysia boleh!” ucapnya penuh spontan.

Jojo menjawab soalan mengenai perasaannya semasa pusingan pertama, di mana beliau kelihatan sedikit kecewa pada awal perlawanan.

“Apa yang boleh saya katakan, ketika hidup melemparkan kesusahan kepada kamu, kamu hanya perlu bangkit dan membuktikan kekuatan kamu sekali lagi,” katanya.

Kemenangan itu juga membolehkan Jojo menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 216,500 daripada ONE Championship kerana berjaya menumpaskan lawan hanya dalam satu pusingan sahaja.

Jojo kini merekodkan enam kemenangan dari tujuh penampilan dengan lima kemenangan datang dari pukulan KO.

Kekalahan pertama atlet darah campuran Malaysia dan Amerika Syarikat ini adalah di tangan wakil Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, Jun lalu.