MELIHAT aksi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tersingkir di suku akhir Masters Jepun hari ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sifatkan pasangan itu tidak memiliki jiwa yang besar.
Malah menurut Rexy, beliau mengandaikan Tang Jie-Ee Wei bagaikan sudah berpuas hati dengan peluang besar untuk mereka layak ke Olimpik Paris, tahun hadapan.
“Saya beritahu Nova (Widianto) bahawa hati mereka kurang besar… jika mahu bersaing dengan pasangan tertas dunia, pemain ktia perlu ada hati yang besar.
“Malah saya tanyakan kepada Nova, adakah mereka (Tang Jie-Ee Wei) sudah puas hati dengan peluang ke Paris, Nova mengakui bahawa anak didiknya kelihatan begitu.
“Saya rumuskan hati mereka kecil.. setiap kali mendahului… hilang rentak dan hilang mata begitu sahaja,” kata Rexy yang agak berang dengan persembahan gandingan nombor 10 dunia itu.
Pada aksi suku akhir hari ini, Tang Jie-Ee Wei tewas kepada pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 14-21, 14-21 dalam tempoh 35 minit.
Turut tersingkir gandingan campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang dihantar pulang pasangan nmbor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 15-21, 16-21.
Sementara itu, Rexy menyifatkan kecederaan dialami Pearly Tan sebelum ini, masih membelenggu mental pemain itu sehingga setiap pergerakan dilakukan dilihat teragak-agak.
Akibatnya, Pearly-M Thinaah turut tersingkir dari kejohanan apabila tewas kepada pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto, 13-21, 18-21.
Justeru, cabaran negara di separuh akhir esok, digalas wakil tunggal dalam beregu lelaki, Ong Yew Sin,-Teo Ee Yi.
Yew Sin-Ee Yi menang ke atas pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-19, 21-16 akan beraksi di separuh akhir menentang pasangna China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, esok.