SELEPAS menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan di laman sendiri, Perak meraih tiga mata penting dalam perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Ipoh, semalam.

Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan memuji kesungguhan para pemainnya.

“Syukur Alhamdulillah, tiga mata yang amat berharga bagi pasukan terutamanya saya sendiri. 

“Tiga perlawanan sebelum ini tanpa sebarang mata agak memberikan tekanan, walaupun nampak saya sentiasa tersenyum, tetapi tekanan itu tetap ada,” kata Yusri dalam sidang media selepas perlawanan.

Kapten pasukan Perak FC, Luciano Guaycochea (tengah) diberi tekanan oleh dua pemain KL City di Stadium Ipoh semalam.

Beliau menekankan bahawa walaupun persembahan Perak tidak berada pada tahap terbaik, semangat juang yang ditunjukkan para pemain menjadi kunci utama dalam kemenangan tersebut. 

“Alhamdulillah, takdir Allah memberikan kami tiga mata pada malam ini, walaupun tidak sebaik mana persembahan kami, apa yang nampak jelas adalah kesungguhan para pemain. 

“Kredit kepada semua yang menunjukkan keinginan untuk terus bermain dan memberi tekanan kepada pasukan lawan,” tambahnya.

Yusri turut mengakui kesilapan percaturan yang dilakukan pada separuh masa pertama hampir memberikan kelebihan kepada KL City FC, namun ketangkasan penjaga gol, Haziq Nadzli, berjaya menyelamatkan keadaan. 

“Saya rasa dua peluang yang diciptakan oleh pasukan lawan adalah hasil kesilapan kita sendiri di separuh masa pertama, namun, para pemain saya berjaya mengawal permainan dan memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol pertama melalui Luka Milunovic,” kata jurulatih asal Perlis itu. 

Haziq cemerlang menangkap bola dan menjaga gawang perak dari dibolosi pasukan KL City.

Beliau juga menyatakan bahawa corak permainan KL City FC membuatkan beliau risau sebelum perlawanan, dengan menganggap mereka lebih baik di atas kertas. 

“Mereka adalah pasukan yang lama bersama, dengan kebanyakan pemain senior yang berpengalaman, jadi, agak sukar beraksi dengan pasukan sebegini…sedikit kealpaan atau kesilapan boleh mengundang padah.”

Gol tunggal Perak FC melalui Luka Milunovic

Namun, kemenangan ini tidak bermakna Perak boleh leka. Yusri mengingatkan pasukannya supaya kekal fokus dan bersedia untuk berdepan cabaran lebih besar, termasuk perlawanan akan datang menentang Sri Pahang FC yang dianggap sebagai satu ujian besar.

“Saya akui tujuh jaringan yang dihasilkan oleh pasukan Pahang dalam dua perlawanan adalah sesuatu yang besar. 

“Kita perlu bekerja keras untuk menidakkan Kpah Sherman daripada bermaharajalela di Stadium Temerloh. Pasukan Pahang penuh dengan pemain berpengalaman, jadi kami perlu lebih berhati-hati.”

Selepas Pahang, Perak akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang dianggap oleh Yusri sebagai ujian yang lebih besar.

“Saya harap para pemain tidak dibuai dengan kejayaan ini kerana lawan kami seterusnya lebih besar, iaitu JDT, jadi kerja keras perlu diteruskan,” tegas Yusri.

Perak FC kini duduki tangga ketujuh liga dengan mengumpul 12 mata selepas sembilan perlawanan dan akan mengunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh 28 September ini bagi perlawanan liga menentang Sri Pahang FC.