PERSEORANGAN wanita profesional negara, Goh Jin Wei perlu berdikari pada penyertaan pertamanya di Temasya Olimpik, apabila usaha membawa jurulatih, Nova Armada ke Sukan Olimpik Paris 2024, gagal berikutan kuota kad akreditasi yang terhad.

Ini berikutan Malaysia menghantar bilangan atlet yang rendah, sekali gus memberi kesan had pengeluaran kad akreditasi kepada pegawai pengiring.

Jin Wei berkata, dia akan berlepas ke Paris pada 23 Julai, dan terus masuk ke perkampungan sukan di sana.

“Saya akan berlepas ke Paris pada 23 Julai tetapi bukan pergi satu pasukan, saya seorang sahaja, jurulatih juga tiada.

“Saya tidak berlepas bersama pasukan Lee Zii Jia kerana mereka mempunyai perancangan sendiri, saya pergi asing.

“Memang saya cuba berusaha mendapatkan pass (akreditasi) untuk jurulatih tetapi terhad dan saya seorang saja datang tanpa jurulatih,” kata Jin Wei selepas menerima lawatan Chef de Mission (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin, di pusat latihannya di Cheras.

Jin Wei turut mengesahkan, jurulatihnya Nova Armada tidak dapat menyertainya ke Paris berikutan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak dapat menambah kuota akreditasi pegawai.

Delegasi MOM memantau persiapan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melakukan persiapan ke Paris 2024.

Begitupun, dia mengakui agak sulit untuk beraksi di pentas tertinggi tanpa panduan dari jurulatih yang duduk di belakang gelanggang, namun dia perlu beradaptasi dengan situasi itu.

Ditanya sama ada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudi membantunya dalam situasi terbabit, Jin Wei berkata: “Jurulatih di BAM tidak mengikuti sesi latihan saya, jadi sukar untuk mereka membantu saya di belakang gelanggang.

“Lagipun, saya tidak mahu mengganggu perancangan jurulatih di BAM, mereka juga mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) sendiri).

“Kejohanan ini (Olimpik) peluangnya datang sekali seumur hidup, amat penting.”

Dalam pada itu, Hamidin mengesahkan, pihaknya sudah membincangkan isu dibangkitkan Jin Wei itu bersama BAM dan juga Nova Armada.

Goh Jin Wei terpaksa akur, jurulatihnya Nova Armada tidak mendapat akreditasi untuk mengiringinya ke Olimpik Paris.

“Kita sudah berbincang dengan jurulatih Nova berkaitan isu ini (Jin Wei), jadi Rexy (Mainaky) akan membantu Jin Wei dan apabila dia berlepas ke Paris 23 Julai depan, dia akan menyertai atlet-atlet lain di perkampungan sukan, MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan BAM akan menjaganya, tidak perlu risau.

“Nova akan berkongsi perkembangan latihan Jin Wei kepada Rexy. Nova boleh datang ke Paris tetapi untuk berada di pusat latihan memang tak dapat,” kata Hamidin.

Jin Wei yang juga juara remaja dunia sebanyak dua kali (2015 & 2018) layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama, belum berpengalaman beraksi di pentas tertinggi itu.