KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampil merendah diri meskipun pasukan kendaliannya musim ini telah muncul naib juara Liga Super dan kembali menggenggam tiket ke Asia.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC yang berlangsung sengit menandakan isyarat kebangkitan skuad Merah Kuning dalam mengharungi satu lagi baki aksi terakhir liga.
“Memang pada awal musim bersama dengan Selangor adalah satu cabaran yang begitu besar. Saya sentiasa berterima kasih kepada RMS (Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah)
sentiasa memberi sokongan dan juga pengurusan serta barisan jurulatih.
“Pemain-pemain sentiasa memberi support yang terbaik untuk untuk saya. Sudah tentu saya selalu bagi tahu, saya seorang tak tidak boleh buat apa-apa tanpa sokongan dan motivasi daripada setiap individu dalam pasukan Selangor.
“Itulah menjadi salah satu momen terbaik untuk saya. Keharmonian dalam pasukan cukup penting, supaya kita boleh melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Aman.
Bagaimanapun, jurulatih asal Kedah itu menggesa anak buah sentiasa konsisten dalam permainan dan juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan setiap perlawanan.
Ujarnya, kemasukan Brendan Gan di babak kedua menambah tonik baharu selepas diserang bertubi-tubi pasukan tuan rumah terutama pada babak pertama.
“Kemasukan Brendan cukup memberi tenaga untuk pasukan kerana kita tahu separuh masa yang pertama kita akan menguasai perlawanan dan juga dari segi bertahan, kekuatan defensif kita akan kekurangan. Jadi kita masukkan Brendan untuk menguatkan bahagian defensive kita dan kita tahu potensi pemain.
“Semua pemain menjalankan tugas dengan begitu baik serta gol dari Ayron Del Valle dan kita tidak boleh lupa peranan Samuel Somerville yang beberapa kali selamatkan pintu gol daripada dibolosi,” katanya.
Selangor yang mengutip 58 mata bakal melengkap jadual liga berdepan PDRM FC pada 17 Disember depan.