PETINJU Algeria, Imane Khelif yang mengesahkan pingat untuk dirinya di Olimpik Paris, mengumumkan ‘saya adalah seorang wanita’.

Petinju welterweight yang dilanda kontroversi berkaitan kelayakannya bertarung dalam kategori wanita di Paris, menewaskan Luca Anna Hamori dari Hungary untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Khelif disingkirkan daripada Kejohanan Dunia tahun lalu oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) selepas gagal ujian jantina, tetapi dibenarkan menyertai Olimpik Paris oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Selepas menewaskan Anna Hamori, Khelif berkata: “Saya mahu memberitahu seluruh dunia yang saya adalah seorang wanita dan akan kekal menjadi wanita.”

Dia turut berterima kasih kepada IOC kerana bercakap benar dalam kontroversi yang melanda dirinya.

“Syukur, ini adalah pingat pertama tinju wanita untuk Algeria. Saya mahu katakan kepada rakyat Algeria yang saya memenangi pingat untuk Algeria dan negara Arab,” kata Khelif.

Khelif akan bertemu petinju Thailand, Janjaem Suwannapheng di separuh akhir untuk memburu tempat ke final.

Khelif salah seorang daripada dua atlet – Lin Yu-Ting dari Taiwan – yang dibenarkan beraksi di Olimpik Paris walaupun dibatalkan penyertaan dalam Kejohanan Dunia Wanita tahun lalu.

Peraturan berkenaan tahap testosteron untuk atlet wanita mula diberi perhatian selepas kes membabitkan Caster Semenya.

Pelari Afrika Selatan itu turut disangka sebagai lelaki kerana badannya mempunyai tahap testosteron yang tinggi berbanding wanita biasa.

Dia tidak dibenarkan bertanding di Olimpik Tokyo selepas Olahraga Dunia merangka peraturan baharu ketika itu.

Namun IOC membatalkan polisi berkenaan memantau tahap testosteron tiga tahun lalu.