BOLA sepak adalah salah satu tarikan masyarakat dari luar untuk datang ke Malaysia, sekali gus menyumbang ke arah ekonomi pelancongan negara, terutama bagi mereka yang terpegun dengan keunikan budaya dan kemakmuran di negara kita.

Perkara ini dibuktikan sendiri selepas FLASH SUKAN menemu bual salah seorang pengamal media dari Oman yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa, untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman.

Menurut lelaki berkaca mata dari negara Arab tersebut, dirinya pasti akan kembali ke Malaysia semula kerana beliau sangat gembira setelah pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini.

Salah satu faktornya adalah kerana beliau terkejut apabila diberi layanan yang sangat baik oleh rakyat di sini.

Sikap saling bantu membantu adalah perkara yang dikagumi oleh wartawan Oman.

Tidak cukup dengan pujian tersebut, beliau turut menyifatkan bahawa makanan di Malaysia juga tidak asing lagi buatnya apabila di sini juga menawarkan pelbagai menu seakan-akan di negara ‘berpasir’ itu juga, seperti Nasi Arab, Kunafa, Shawarma dan banyak lagi.

“Terdapat banyak Restoran Arab di sini dan saya rasa, sesiapa yang datang ke Malaysia tidak akan berasa dirinya asing dan mereka pasti gemar untuk kembali semula di sini.

“Masjid-masjid yang cantik juga terlalu banyak di sini, saya sebagai seorang Muslim tidak menghadapi sebarang masalah untuk berada di sini.

“Masyarakat di sini juga sangat baik. Saya rasa seperti saya berada di negara sendiri, bukan di Malaysia. Segala apa yang kami mahu, mereka terus beri bantuan kepada kami.

Wartawan dari Oman berkongsi kegembiraannya berada di Malaysia.

“Saya ingin tinggal lebih lama di sini, tetapi malangnya kami akan berlepas semula ke Oman pada hari esok (Rabu),” ujarnya kepada FLASH SUKAN semasa di SNBJ pada malam Selasa.

Segala yang dikatakan oleh pengamal media yang berusia sekitar 40-an itu adalah realiti sebenar sikap majoriti rakyat Malaysia yang hidup saling bersopan santun dan menghormati sesama masyarakat di tanah air ini.

Menjadi satu kebanggaan buat rakyat Malaysia apabila dipandang tinggi oleh pelancong dari negara-negara luar, sekali gus ianya akan menaikkan lagi kadar jumlah pelancong yang datangnya dari industri sukan di Malaysia.