SETIAP kali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya, perasaan mengujakan dan bangga tersemat di dada pemain pertahanan negara, Junior Eldstal.
Ujar pemain pinjaman yang beraksi bersama PT Prachuap FC di Thai League 1, dirinya sentiasa memberikan komitmen 100 peratus atas padang apabila diberi ruang beraksi dan akan sentiasa cuba membantu pasukan.
“Saya sudah 10 tahun bermain untuk Malaysia dan setiap kali dapat panggilan untuk sarung jersi Malaysia perasaan sama tetap sama seperti mula-mula dahulu iaitu teruja, gembira dan sangat bangga dapat mewakili negara.
“Seperti yang saya katakan tadi saya sudah lama bermain untuk negara dan semua tahu apa yang saya boleh bawa bila saya main untuk negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Terengganu pada Ahad.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu hubungan baik bersama ketua jurulatih Kim Pan-gon serta terdahulu sentiasa baik sama ada dalam dan luar padang.
“Pengalaman ini saya gunakan untuk bantu pemain-pemain muda dalam pasukan ini. Kebolehan saya bertutur dalam Bahasa Malaysia juga memudahkan komunikasi antara pemain tempatan dan pemain naturalisasi dalam kem pasukan,” katanya lagi.
Malah, kelahiran puteri sulung Junior yang kini berusia empat bulan membakar lagi semangatnya berjuang bersama negara.
“Saya suka bola sepak, saya gembira bermain untuk negara dan kelab, saya sayangkan peminat dan semua mengenai bola sepak dan menyebabkan kenapa saya menjadi pemain profesional. Ketika saya masih kecil itu yang diimpikan dan ia menjadi motivasi saya setiap hari.
“Sekarang pun saya ada anak perempuan berusia empat bulan, itu motivasi untuk saya supaya dia boleh tengok bapa dia di stadium,” kata pemain kacukan Malaysia-Sweden itu.
"Mana kau tahu mereka tak tahu nyanyi Negaraku? Itu dalam TV saja!"
Pemain pertahanan Harimau Malaya, Junior Eldstal pic.twitter.com/W1sJRB5JSi
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 18, 2023
Ketika ditanya dakwaan dan kritikan segelintir peminat mengapa masih terdapat pemain negara yang tidak boleh menyanyikan lagu Negaraku semasa pertembungan bertemu Kepulauan Solomon Rabu lepas, ini jawapan Junior.
“Macam mana mereka tahu yang mereka tak boleh menyanyi? Mungkin suara dia sakit ke apa,” selorohnya disambut ketawa pengamal media yang hadir.
Selepas tidak bermain pada perlawanan pertama di Gong Badak, dia ada kemungkinan dijangka diturunkan Pan-gon dalam aksi kedua persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea, Selasa ini.