JURULATIH Negeri Sembilan FC (NSFC), K.Devan memuji barisan pemainnya yang beraksi cemerlang ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 itu.

Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan tercalar apabila jaringan saat akhir oleh Fernando Forestieri memberikan skuad Harimau Selatan tiga mata untuk dibawa pulang ke Johor.

Walaupun kelihatan tegang di tepi padang dengan beberapa kali dilihat bertukar-tukar perbalahan dengan pengendali JDT Benjamin Mora, namun Devan tenang dan tersenyum ketika sidang media selepas perlawanan.

Devan mengatakan mereka bermain secara proaktif dan bertahan lebih baik berbanding JDT tetapi gagal memanfaatkan peluang yang ada selain dia yakin skuad The Jangs ini mampu memberikan saingan dalam Liga Super musim ini.

Malah Devan turut teruja dengan kehadiran puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan dan menganggap situasi ini sebagai petanda positif buat perkembangan bola sepak di Negeri Sembilan.

“Kami bermain seperti biasa dan saya tidak memarkir bas seperti yang dijangkakan oleh beberapa pihak. JDT adalah pasukan yang sangat baik dengan tahap yang berbeza.

“Pemain saya menunjukkan karektor sebenar dan bagaimana cara bermain bola sepak. Saya tabik dengan pasukan dan rasa bangga dengan semua pemain NSFC.

“Kami perlu bermain secara proaktif. Kami tidak boleh bermain secara reaktif apabila berdepan pasukan yang. Kami menyerang dan saya rasa kami bertahan lebih baik berbanding lawan tetapi kami gagal menyempurnakan peluang yang ada.

“Untuk membentuk satu pasukan yang kuat kita perlukan tiga hingga empat tahun. Ini tahun kedua dan pertama kali NSFC bermain di Liga Super. Kami pun tidak menjangkakan pencapaian yang diperolehi sekarang.

“Keyakinan dan semangat pasukan memang bagus tetapi saya rasakan yang kami masih belum ada dalam kalangan pasukan empat teratas. Ianya masih awal dan saya yakin NSFC mampu tunjukkan prestasi baik di Liga Super tahun ini.

“Bola sepak tetap sukan nombor satu di negara ini. Sudah lama kita tidak lihat situasi seperti hari ini. Walaupun kalah, penyokong masih menunggu para pemain dan ini adalah petanda positif buat bola sepak Negeri Sembilan. Inilah yang dinamakan penyokong setia,” jelas Devan dalam sidang media.

Dalam pada itu, Devan megelak untuk memberikan komen mengenai tambahan masa 10 minit yang diberikan dalam perlawanan itu kerana beliau adalah jurulatih dan bukannya pengadil.