KETUA jurulatih hoki negara, Sarjit Singh menegaskan bahawa dirinya enggan membebani pemain-pemain dengan apa-apa sasaran menjelang perlawanan persahabatan dan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Menurutnya, dia mahu anak didiknya untuk fokus berlatih dan meningkatkan permainan mereka supaya mereka bersedia untuk Sukan Asia 2026 nanti.
“Kita tak letak apa-apa sasaran untuk perlawanan persahabatan nanti.
“Kita pergi Ipoh, para pemain tunjuk komitmen dan mereka buat yang terbaik, mereka akan terpilih. Jika tidak, tidak mengapa kita ada perancangan jangka panjang untuk melatih mereka.
“Macam saya cakap daripada awal, sasaran kita adalah Sukan Asia 2026. Kita sedang menyediakan pemain dengan perlawanan dan kejohanan antarabangsa untuk 2026 nanti,” katanya semalam.
“Kalau sasaran untuk Piala Sultan Azlan Shah, itu kena tanya sendiri dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
“Bagi saya, saya tak nak bagi pemain-pemain saya berasa tertekan dengan sasaran yang diletak.
“Selagi mereka bagi komitmen penuh, bermain habis-habisan, mereka bermain dengan baik dan kami berpuas hati dan jika keputusan itu datang, ia bagus. Jika keputusan tidak datang kita perlu berlatih lebih lagi nanti,” ujarnya lagi ketika ditemui pada Khamis.
Sarjit menyifatkan perlawanan dan kejohanan antarabangsa sangat penting untuk pemainnya dapatkan pengalaman dan jika mereka dapat 40 perlawanan antarabangsa setahun, ia akan menjadi baik untuk pasukan hoki negara.
Malaysia yang juga merupakan tuan rumah untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah merupakan juara bertahan selepas memenangi edisi sebelum ini dengan menewaskan Korea Selatan 3-2.
Skuad negara akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan New Zealand dan Korea Selatan sebelum kejohanan bermula pada 4 Mei nanti.