PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem menyifatkan prestasinya tahun lalu masih belum boleh diklasifikasikan sebagai satu kejayaan.

Biarpun dirinya menjadi salah seorang tulang belakang The Red Giants dalam membantu Selangor menempah satu slot di pentas Asia, namun dia masih tidak berpuas hati dengan pencapaiannya pada musim 2023.

Oleh itu, Sharul yang gemar disapa sebagai Afro berharap agar tahun ini akan menjadi lebih baik untuknya sekali gus dapat mempamerkan aksi lebih cemerlang sebagai seorang tonggak pertahanan.

“Setiap tahun, saya memang tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian yang saya ada. Saya perlukan tempoh setahun akan datang ini supaya dapat menjadi yang lebih baik.

“Sudah tentu saya ingin memperbaiki dahulu diri saya dan menjadi pertahanan yang lebih hebat.

“Andai kata saya dapat kekalkan prestasi saya atau jadi lebih baik, Insya Allah saya akan beri yang terbaik kepada Selangor. Apa yang skuad saya sudah terapkan dan berikan, saya akan aplikasikannya.

“Untuk mengulas mengenai penglibatan bersama pasukan kebangsaan, main atau tidak, itu masih satu pengalaman mahal buat saya.

“Apa yang saya dapat daripada skuad kebangsaan, saya akan terapkan di Selangor juga bahkan, kehadiran saya di situ merupakan satu detik pengalaman yang baik,” ujar Sharul.

Sharul yang berusia 24 tahun itu terlepas peluang berada bersama skuad Harimau Malaya pentas Piala Asia 2023 Qatar selepas ditimpa kecederaan.

Dirinya kini sedang fokus menjalani proses pemulihan dan berusaha untuk mengembalikan momentum prestasi sepenuhnya sejurus memulakan saingan 2024/2025 dengan penuh semangat.

Untuk rekod, Sharul berjaya meraih tiga gol dan turut menyumbang satu ‘assist’ dalam keseluruhan 25 perlawanan sepanjang musim 2023.