PENGARAH Kejurulatihan Beregu Kebangsaan , Rexy Mainaky sudah ‘naik angin’ melihat prestasi yang dipamerkan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Ia susulan juara dunia itu disingkirkan di pusingan kedua selepas tewas 21-17, 16-21, 17-21 kepada Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun dalam aksi Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland.
Mimpi ngeri tersebut berulang buat beregu harapan negara apabila gandingan tersebut gagal meneruskan aksi pada pusingan awal kejohanan sama seperti apa yang dialami pada Terbuka Jerman dan All England.
“Saya tidak mahu komen banyak terlebih dahulu kerana mahu tunggu mereka balik ke Malaysia. Saya tidak tahu apa yang terjadi dalam otak mereka pada jelajah Eropah kali ini kerana paling jauh pun pusingan kedua.
“Selain itu, mereka juga hanya mencatat kemenangan ke atas pemain-pemain tidak ternama. Sebagai juara dunia, ini sangat memalukan dan saya harap mereka berdua juga merasa malu,” katanya.
Bersandarkan rekod dan kemampuan yang dimiliki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Rexy dengan tegas meramalkan gandingan tersebut mampu melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat akhir.
“Kalau lihat dari segi ranking, mereka harus melangkah sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir. Mungkin mereka fikir masih menjadi juara dunia, justeru terlalu menikmati status tersebut,” jelasnya.
Kali terakhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menggenggam gelaran naib juara adalah pada Terbuka India Januari lalu, sebelum terus berdepan kesukaran melepasi peringkat awal.